KUALA LUMPUR: Anak kepada Raja Ular Malaysia pada Rabu didenda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana membuat pameran tiga ekor ular sawa tanpa permit sah, di sebuah kompleks beli-belah di sini, kira-kira dua tahun lepas. Hakim Harmi Thamrin Mohamad@Shaharudin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Azman Khan Ali Khan selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan membuat pameran ular tanpa permit di kaki lima di hadapan Pusat Beli- Belah, Lot 10, Bukit Bintang, di sini pada 10.50 malam, 30 Mei 2014. Dia didenda RM12,000 kerana membuat pameran dua ekor ular jenis sawa batik dan RM12,000 membuat pameran seekor ular sawa burma albino dan tiga bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda tersebut. Azman Khan didakwa mengikut Seksyen 66 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang membawa hukuman hukuman denda maksimum RM70,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun jika sabit kesalahan. Semasa menyampaikan keputusannya, Hakim mengingatkan tertuduh bahawa bukan sahaja perlu mempunyai lesen untuk menyimpan pelbagai jenis ular tetapi juga perlu mempunyai permit untuk membuat pameran ular. Terdahulu, peguam Vijey Esvaren yang mewakili Azman Khan, memohon mahkamah hanya mengenakan denda yang rendah ke atas anak guamnya kerana hanya bekerja sebagai peniaga pasar malam dan perlu menanggung adik-adiknya yang masih belajar. Katanya anak guamnya itu mewarisi kemahiran bapanya iaitu Ali Khan Shamsuddin yang maut akibat terkena patukan ular tedung selar ketika membuat persembahan pada tahun 2006. Pegawai Pendakwa Mohd Khairul Mubin Ab Satar dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar, berhujah bahawa tertuduh mempunyai 28 lesen untuk menyimpan pelbagai jenis ular namun tidak mempunyai permit untuk membuat pameran. Katanya, tertuduh sepatutnya membawa ular-ular tersebut kepada pihaknya bagi membuat pemeriksaan tahap kesihatan ular tersebut kerana ia boleh menyebarkan virus dan penyakit lain kepada orang awam yang berada dekat dengan reptilia itu pada pameran. - BERNAMA