suria

Tiga Rakan Maut, Kereta Bertembung Lori

SHAH ALAM: Tiga rakan maut apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Km51, Jalan Klang-Teluk Intan, Sungai Terap, dekat sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Roslan Abdullah berkata dalam kejadian pukul 8.18 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Mohamad Safiq Hasan Adli, 22, Ahmad Mustakim Mohd Ngali, 37, dan Mohd Mohyiddin Mohd Subari @ Sarman, 50, dari Sungai Besar.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Waja yang dipandu Mohamad Safiq dari arah Klang menghala ke Teluk Intan dipercayai hilang kawalan menyebabkannya terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan lori 16 tan itu.

"Ketiga-tiga mangsa yang tersepit ekoran pelanggaran itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Roslan berkata mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

Katanya, pemandu lori tersebut kini ditahan untuk dirakam percakapan dan menurutnya polis meminta mana-mana saksi yang melihat kemalangan itu segera menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Kuala Selangor, lori, kemalangan

Artikel Lain