PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan menghadiri mesyuarat tiga negara di Jogjakarta, Indonesia, esok bertujuan meningkatkan keselamatan maritim susulan beberapa kejadian penculikan di perairan Indonesia, Malaysia dan Filipina baru-baru ini. Mesyuarat itu akan turut dihadiri panglima angkatan tentera ketiga-tiga negara, menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini. Menurutnya, mesyuarat tersebut akan membincangkan usahasama untuk mengukuhkan penyelarasan dan kerjasama dalam usaha untuk meningkatkan keselamatan maritim di perairan ketiga-tiga negara, susulan berlaku beberapa kejadian penculikan baru-baru ini. Malaysia komited untuk bekerjasama dengan Indonesia dan Filipina dalam mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di kawasan berkenaan dan rantau ini, menurut kenyataan itu. Menurutnya, Anifah diundang untuk hadir ke mesyuarat itu oleh Menteri Luar Indonesia Retno L.P. Marsudi. Empat rakyat Malaysia, Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29; dan Johnny Lau Jung Hien, 21, diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Semporna, Sabah ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari Filipina pada 1 April lepas. Keempat-empat mangsa dari Sibu itu adalah kru kapal Masfive 6 yang mengangkut balak dari Malaysia ke Manila, Filipina. Pada 26 Mac, 10 kru warga Indonesia diculik daripada sebuah kapal tunda di perairan di barat daya Filipina. Mereka dibebaskan pada Ahad.