KUALA TERENGGANU: Dikatakan sotong semakin pupus di perairan Terengganu, menjadikan aktiviti mencandat tidak lagi semeriah dahulu. Perkara ini dikatakan antaranya berpunca daripada aktiviti perikanan bot nelayan asing. "Pelancong menyewa bot RM1,000 semalam, tetapi hasil yang diperolehi tidak setimpal dengan sewa tersebut," kata Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan, Hasan Ismail kepada Bernama. Beliau berkata sebelum ini pada musim sotong membiak sekitar April atau Mei, nelayan mampu memperoleh hingga 10 kilogram atau 20 kilogram semalam. "Keadaan ini berbeza sekarang, nelayan kadang-kadang pulang dengan tangan kosong," katanya. Hasan berkata sumber ikan turut berkurangan disebakan masalah pencerobohan nelayan asing. Ikan yang popular seperti 'aji-aji' sukar diperoleh sekarang, kalau adapun harganya agak tinggi, katanya.-- Bernama