KUCHING: Parti politik bukan sahaja turun padang untuk berkempen malah melancarkan perang saraf untuk menguasai dunia siber antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak (PRN-11). Paling berkesan, kedua-dua pihak memaparkan mesej-mesej kreatif tanpa menyatakan hasarat secara langsung dengan penekanan tertumpu kepada nilai-nilai hiburan bagi menarik perhatian pengguna internet. Unsur sindiran digunakan untuk membuat dakwaan dan tuntutan, sekiranya tidak, ia segera kelihatan keterlaluan dan tidak masuk akal. Dalam cubaan menembus masuk ke kawasan majoriti pengundi Bumiputera, DAP mnerbitkan video yang menggambarkan seolah-olah parti itu adalah penjuang dan wira bagi masyarakat luar bandar. Sebuah video oleh parti itu menunjukan sekumpulan masyarakat menyorak riang mengelilingi ahli-ahli DAP yang membantu membina sebuah rumah dan sebuah jambatan dengan tali dan kayu di kawasan pedalaman. Sebuah lagi video menggambarkan adegan, jelas dilakonkan, sekumpulan kanak-kanak sekolah luar bandar belajar dengan bantuan lampu minyak tanah, sekali gus terselit mesej kegagalan kerajaan menyediakan kemudahan asas. Sudah tentu, tidak terkecuali kandungan bahan yang menyebut kerajaan BN membelanjakan hampir RM1.3 bilion bagi memastikan sekurang-kurangnya 96 peratus negeri Sarawak menikmati bekalan elektrik menjelang akhir tahun ini. Video-video berkenaan dimuat naik dalam pelbagai platformn media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan You Tube. BN pula membalas propaganda pembangkang dengan fakta. Tetapi, menurut pakar komunikasi, semua fakta berhubung usaha-usaha kerajaan pusat dan negeri bernilai berbilion ringgit bagi membangunkan Sarawak tidak akan memberi impak melainkan kaedah penyampaian yang boleh menarik dan mengekalkan perhatian pengguna internet. "Banyak bergantung kepada cara penyampaian dan bala tentera siber pihak pembangkang telah membuktikan kelicikan mereka," kata seorang pensyarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM). "Tetapi saya melihat BN telah menyedari hal ini. Ia telah menghasilkan video dengan beberapa daripadanya agak baik. Saya percaya video-video mereka ini memberi impak," kata pensyarah yang tidak mahu dinamakan. Salah satu video BN dengan menyasarkan pengundi kawasan bandar memaparkan sekumpulan kanak-kanak sekolah menaiki bas dengan konduktornya adalah Senator Datuk Dr Sim Kui Hian dan pemandunya adalah Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem. Adenan menoleh ke belakang dan bertanya: "Sim, adakah kita bersedia untuk bertolak?. Calon Batu Kawah itu menjawab: "Ya, jom pergi". Sebuah lagi video menggunakan sebuah lagu rap asal menggambarkan kemajuan dan keharmonian masyarakat di bawah BN. Kajian menunjukkan pengguna utama internet adalah berusia dalam lingkungan 21 dan 49 tahun. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada jumlah 1.1 pemilih berdaftar bagi PRN-11, 11.5 peratus berusia antara 21 dan 29 tahun, 20.98 peratus (30-39) dan 23.6 peratus antara 40 dan 49 tahun. Di Sarawak, pengguna internet kebanyakannya adalah di Kuching, Sibu dan Miri dan mereka ini lebih berminat dengan kandungan tempatan, kata Shahnon Mohamed Salleh, pensyarah Pengajian Komunikasi dan Media daripada UiTM. Penganalisis politik, Dr Baharuddin Aziz berkata media sosial adalah salah satu daripada platform berpengaruh untuk sebaran maklumat dan propaganda, namun banyak pihak tidak beretika dan cenderung untuk mengelirukan pengguna. Mereka memerhatikan perang siber ini tertumpu kepada pengundi kawasan bandar dengan pembangkang menang 12 kerusi menerusi DAP, masing-masing satu oleh PKR dan BN dalam kalangan pengundi bandar pada PRN 2011. Bagaimanapun, pada PRN-11, Sabtu ini, BN kelihatan tidak terlepas sebarang peluang di alam maya untuk merampas semula sokongan pengundi kepada DAP di kawasan bandar.-- Bernama