suria

Tengku Sarifuddin Pertahan Dakwaan Terhadap Mukhriz

PETALING JAYA: Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad tetap mempertahankan kenyataan beliau yang mendakwa Datuk Seri Mukhriz Mahathir terlibat secara langsung dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri itu berkata pendapat beliau adalah adil berdasarkan pemerhatian dan bukannya tuduhan liar.

“Saya tidak membuat sebarang tuduhan liar, pendapat saya adalah komen yang adil berdasarkan tindakan (Tun) Mahathir, (Datuk Seri) Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengetuai kempen untuk menjatuhkan Perdana Menteri, tetapi gagal," katanya.

Malah, beliau menegaskan bersedia untuk membincangkan perkara tersebut di mahkamah.

Beliau turut mengulangi dakwaannya bahawa usaha bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Tun Razak dilakukan untuk menyediakan pentas kepada Mukhriz bagi mengambil alih jawatan tersebut.

Pada Selasa, Mukhriz memfailkan tuntutan sivil terhadap Tengku Sarifuddin bagi menuntut ganti rugi atas beberapa kenyataan yang bersifat fitnah.

Tengku Sarifuddin sebelum ini mendakwa terdapat satu gerakan oleh Dr Mahathir untuk menggulingkan Najib dan menyerahkan jawatannya itu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau juga mendakwa selepas Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, jawatan itu akan diserahkan pula kepada Mukhriz.

Sementara itu, Tengku Sarifuddin, berkata ramai yang berfikir bahawa Dr Mahathir mahu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan Mukhriz sebagai Timbalan Menteri sehingga anaknya itu benar-benar bersedia untuk mengambil alih jawatan tersebut.

“Malah kegagalan mereka untuk menjawab satu soalan mudah ini mengkhianati kebenaran: objektif Kempen Anti Najib adalahTun Mahathir mahu membuka jalan untuk anaknya.

“Maka ini jelas menunjukkan bahawa Mukhriz kini beremosi dan sedih kerana ayahnya gagal dalam strateginya itu,” dakwanya.


Artikel Berikut

Artikel Lain