KUDAT: Operasi mencari dan menyelamat empat mangsa yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang dengan sebuah bot dari Pulau Balambangan ke Tanjung Simpang Mengayau, di sini lewat petang Isnin lalu, memasuki hari keempat hari ini (Jumaat). Sebuah bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) digerakkan ke perairan Balabac dan perairan Balambangan, Kudat, jam 6 pagi ini selepas menerima maklumat orang ramai yang melihat satu objek di kawasan berkenaan, bagaimanapun tidak menjumpai sebarang tanda. Pengarah Maritim Malaysia Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata aset kemudiannya digerakkan menuju ke Simpang Mengayau dan Batuan Mandi untuk meneruskan pencarian. "Kami turut membawa bersama pasukan perubatan dari Hospital Likas," katanya ketika dihubungi Bernama. Operasi yang diketuai Maritim Malaysia ini membabitkan sejumlah 20 aset terdiri daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah. Empat mangsa yang dilaporkan hilang itu adalah suami isteri dari Sepanyol, David Hernandes Gasulla dan Martha Miguel, kedua-duanya berusia 30 tahun, warga China yang juga pemilik resort di Tanjung Simpang Mengayau, Lam Wai Yin Tommy, 45, dan wanita tempatan yang juga pekerja resort, Armella Ali Hassan, 23. Semua mangsa sepatutnya tiba di Tanjung Simpang Mengayau pada jam 8 malam Isnin lalu.