suria

Shabery Cheek Sepatutnya Naik Helikopter Yang Hilang

KUCHING: Helikopter yang membawa seorang timbalan menteri yang hilang sejak semalam sepatutnya dinaiki oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ketika Shabery hendak menaiki helikopter itu untuk pulang ke Kuching selepas menghadiri satu majlis di pekan Spaoh, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu yang mengiringi Shabery menawarkan helikopter rasminya kepada beliau dan rombongannya.

Pengawal peribadi polis kepada Shabery, Fadhrul Azmar Remli memberitahu Bernama hari ini, "Shabery sudah hendak menaiki helikopter tersebut tetapi dalam minit-minit terakhir Jabu suruh tukar helikopter."

Fadhrul berkata Jabu memberitahu Shabery supaya menaiki helikopter rasminya kerana beliau (Jabu) tidak jadi terbang ke Sibu untuk satu acara lain.

Fadhrul yang turut bersama rombongan Shabery, sebelum itu menaiki helikopter yang hilang itu dari Tanjung Bijat ke Spaoh manakala Shabery menaiki helikopter jenis lain.

Helikopter jenis RP-C 6828 itu dalam perjalanan dari Betong ke Kuching apabila ia hilang daripada pengesanan radar, menurut Jabatan Penerbangan Awam.

Pesawat itu berlepas dari Betong, kira-kira 250km dari sini, pada 4.12 petang dan sepatutnya tiba di Kuching sekitar 5 petang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan helikopter itu membawa enam orang, antaranya Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, suaminya Asmuni Abdullah, Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad.

Turut berada dalam helikopter itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun, dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.

Menceritakan semula atur cara Shabery semalam, Fadhrul berkata Shabery ke Tanjung Bijat, di Bahagian Sri Aman, bagi menghadiri majlis yang turut dihadiri Jabu dengan menggunakan kereta dari Kuching.

Selepas acara itu, Shabery hendak ke pekan Spaoh pula untuk menghadiri satu lagi acara bersama petani tempatan dan Jabu mempelawa menaiki helikopternya.

Fadhrul berkata beliau yang tidak dapat menyertai Shabery dan Jabu, telah terbang berasingan dengan menaiki helikopter RP-C 6828 yang disewa untuk Shabery ke Spaoh.

Selepas berakhir acara di Spaoh itu, Shabery telah bersedia untuk menaiki helikopter yang disewakan untuknya pulang ke Kuching tetapi ditahan oleh Jabu supaya menaiki helikopternya.

Fadhrul berkata helikopter Shabery yang tidak digunakan itu mendapat arahan supaya ke bandar Betong untuk mengambil Noriah dan rombongannya yang turut hendak pulang ke Kuching.

Katanya helikopter yang hilang itu boleh terbang lebih laju daripada helikopter yang dinaiki Noriah ke Betong sebelum itu.

Menurut Fardhrul, foto yang tersebar menunjukkan Noriah dan rombongannya bergambar di sisi sebuah helikopter lain itu diambil di Hornbill Skyways di lapangan terbang Kuching sebelum mereka berlepas ke Betong untuk satu acara berasingan.

Sarawak, Helikopter hilang

Artikel Lain