suria

Penemuan Bangkai Kapal Karam Tarik Perhatian

PEKAN: Penemuan bangkai kapal karam di Sungai Pahang di sini boleh membantu menjawab misteri di sebalik tenggelamnya kapal dagang SS Amherst yang membuat pelayaran terakhirnya pada 1901, kata Jabatan Warisan Negara.

Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Timur, Mohd Shukri Mohd Isa berkata para pegawainya sedang berusaha untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bangkai itu, termasuk corong, tali sauh, kipas dan enjin kebuk pembakaran yang merupakan ciri-ciri kapal tahun 1900-an.

"Jika fakta-faktanya betul, ini mungkin milik Amherst. Kapal itu dibina di Glasgow dan telah belayar dari Singapura ke Kota Baru dengan 77 penumpang.

"Malangnya, kami tidak dapat mencari nombor pendaftaran kapal. Ia mungkin tersembunyi di bawah pasir.

"Nombor itu boleh memberikan kami lebih banyak petunjuk," katanya, Khamis.

Seramai 12 ahli arkeologi telah melawat tapak itu semalam.

Penduduk Kampung Tanjung di Paloh Hinai di sini telah melihat kapal karam itu sejak beberapa bulan lepas.

Pembantu Muzium Kanan Cawangan Arkeologi Bawah Air, Bahagian Arkeologi, Jabatan Warisan Negara Khairil Amri Abdul Ghani menafikan dakwaan bahawa kapal itu telah membawa emas.

"Ia sebuah kapal kuasa wap penumpang. Melihat kepada ciri-cirinya, kami menganggap ia tidak bukan sebuah kapal untuk perjalanan jauh," kata beliau sambil menambah sifat sebenar kapal kargo itu hanya boleh diperolehi melalui lebih banyak penyelidikan terhadap rekod lalu.

"Dalam masa yang sama kita perlu menganalisis sebarang maklumat yang diperoleh daripada penduduk di sini kerana kisah-kisah mereka boleh bertukar menjadi satu kenyataan," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Paloh Hinai Abdul Rashid Abdul Rahman berkata cerita tentang kapal karam itu telah diturunkan dari satu generasi ke generasi lain.

"Dikatakan bahawa kapal itu tenggelam kerana sikap angkuh kaptennya dan selepas 'rohnya' telah diganggu," katanya.

"Legenda menyatakan tentang nasib buruk yang akan menimpa mereka yang cuba untuk mencuri apa sahaja dari bangkai kapal tenggelam itu," kata Ibrahim Mohd Tia, 85, yang rumahnya terletak di tebing sungai.

Seorang lagi penduduk kampung, Rosmaini Ibrahim, 39, berkata sepupunya pernah mengambil parang dari kapal itu sekitar 1980-an.

Tetapi dia meletakkannya kembali pada hari berikutnya selepas didatangi mimpi buruk tentang apa yang telah dilakukannya.

Penemuan bangkai kapal berkenaan dikatakan susulan paras air sungai Pahang yang menjadi semakin cetek akibat fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob telah mengarahkan siasatan terhadap punca, termasuk dakwaan berlaku disebabkan aktiviti pembalakan berlebihan atau pembersihan hutan untuk pertanian di kawasan-kawasan lain.

Artikel Lain