KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membawa 10 orang jurukaunseling untuk memberi khidmat kaunseling kepada anggota keluarga mangsa nahas helikopter Khamis lepas. Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan - di hotel penginapan keluarga mangsa, di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini dan di Hospital Umum Sarawak. Rohani berkata khidmat kaunseling untuk anggota keluarga mangsa amat diperlukan agar mereka dapat menerima hakikat bahawa orang yang disayangi sudah pergi selama-lamanya dan tidak terlalu bersedih. Ditanya berhubung proses pengecaman dan pengurusan mayat, Rohani berkata anggota keluarga mangsa hanya akan dipanggil ke hospital untuk tujuan pengecaman dan pengesahan mayat apabila proses bedah siasat dan ujian DNA selesai. Selepas segala pengurusan mayat sudah diselesaikan barulah jenazah akan dihantar pulang untuk urusan pengkebumian, katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu. Beliau berkata anggota keluarga yang berhasrat untuk sembahyangkan jenazah ikut agama masing-masing boleh berbuat demikian, dan kementerian itu akan memberi segala bantuan yang diperlukan. Setakat ini tiga mangsa telah dijumpai dan dua dikenal pasti iaitu Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon yang ditemukan di tebing Sungai Batang Lupar, Lingga tengah hari semalam, dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai yang dijumpai pagi ini, kira-kira 15km dari tempat mayat Noriah ditemukan. Penumpang lain yang berada di dalam helikopter itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, anggota Parlimen Kuala Kangsar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas. Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang Khamis, menghala ke Kuching sebelum tragedi itu berlaku. Keluarga mereka yang terbabit dalam nahas itu tiba di Kuching sejak semalam. Jenazah Noriah dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12 Sungai Burong, Tanjong Karang, Selangor awal pagi tadi.