KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memandang serius kemalangan yang berlaku melibatkan dua tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berdekatan Stesen Kuala Kubu Bharu pada Sabtu. SPAD dalam kenyataan pada Sabtu berkata, tindakan sewajarnya akan diambil setelah siasatan selesai dan buat masa ini KTMB sedang berusaha untuk membuka semula landasan dengan kadar segera. "Pengumuman pembukaan semula akan dibuat oleh pihak KTMB. Untuk maklumat lanjut mengenai pembukaan perkhidmatan, para pengguna dinasihat merujuk kepada www.ktmb.com.my atau menghubungi talian KTMB di 03-2267 1200," katanya. Tiga orang penumpang mengalami kecederaan ringan dalam kejadian 1.45 tengah hari itu melibatkan tren Ekspres Rakyat (Butterworth-Johor Baharu) dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS)(Kuala Lumpur-Ipoh) yang bergesel di Km322. Bagaimanapun, kesemua penumpang yang selamat telah dipindahkan oleh KTMB melalui bas perantara yang disediakan untuk menyambung perjalanan masing-masing. - Bernama