suria

Nelayan Bingung Hasil Tangkapan Berkurangan

Nelayan Pulau Betong Abdul Aziz Abdul Rahman menunjukkan tanah selut berkeledak hitam yang berpunca daripada aktiviti tambakan laut sekitar kawasan pulau tersebut, Sabtu. Tanah selut itu menyebabkan para nelayan Pulau Betong tidak dapat memperolehi tangkapan hidupan laut untuk mencari rezeki harian. -fotoBERNAMA
BALIK PULAU: Kira-kira 1,000 nelayan dari Pulau Betong dan Kuala Sungai Pinang mendakwa pendapatan mereka semakin berkurangan disebabkan hasil tangkapan yang rendah sejak sebulan yang lalu.

Mereka mendakwa mereka sendiri bingung tentang puncanya dan berharap pihak berkuasa akan menjalankan analisis kualiti air laut untuk mencari puncanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad berkata sebahagian daripada mereka telah berhenti pergi ke laut kerana wang yang dibelanjakan untuk petrol melebihi pendapatan mereka.

"Nelayan mendakwa mereka berjaya menangkap hanya dua hingga tiga ekor udang dan ikan yang sangat sedikit pada masa ini.

"Mata pencarian mereka terjejas teruk," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan nelayan yang keluar ke laut di Pulau Betong, Sabtu.

Muhammad Farid berkata menurut beberapa nelayan, sauh bot mereka telah diselaputi dengan selut hitam dan berbau busuk.


Beliau menggesa Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim), Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar untuk menjalankan siasatan segera.

Artikel Lain