PETALING JAYA: Sultan Johor telah menzahirkan penghargaan yang tidak berbelah bahagi buat bonda dan permaisurinya sempena sambutan Hari Ibu, Ahad. Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah menulis di Facebooknya menceritakan tentang bagaimana baginda diberkati oleh bondanya, Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah, dan Permaisuri Raja Zarith Sofiah Idris Shah, sambil menambah bahawa kedua-dua insan ini adalah penting dalam kehidupan baginda. "Hari ini, saya memikirkan tentang dua wanita yang paling penting dan istimewa dalam hidup saya: Ibu dan isteri saya. "Allah SWT telah memberkati saya dengan seorang ibu yang berani, dan isteri yang mengagumkan. Mereka sentiasa bersama di sisi keenam-enam anak saya dan saya sendiri, di kala susah mahupun senang. Mereka berdua adalah insan cemerlang dan yang amat saya kasihi," titahnya dalam satu posting di Facebook, Ahad. Sultan Ibrahim bersama Raja Zarith Sofiah. Sultan Ibrahim bertitah, kedua-dua wanita itu adalah insan cemerlang dan baginda amat mengasihi kedua-dua mereka. "Saya bersyukur di atas kasih sayang tanpa sempadan dan yang tidak berbelah bagi yang mereka berdua berikan kepada keluarga kami," titahnya. Baginda seterusnya menasihatkan agar semua orang dapat menghormati ibu masing-masing dan mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua yang bergelar 'ibu'. "Hormatilah dan jagalah mereka dengan baik. Saya mengucapkan 'Selamat Hari Ibu' kepada semua yang bergelar 'ibu'. Moga Allah SWT terus melimpahi rahmat-Nya buat anda semua sentiasa, InShaAllah."