PUTRAJAYA: Pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi diakui oleh Gabenor Bank Negara baharu Datuk Muhammad Ibrahim sebagai langkah berani yang diambil kerajaan untuk membantu negara menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu dimaklumkankan kepadanya dalam perbualan beliau dengan Muhammad baru-baru ini. Menurut beliau, Muhammad berpendapat sekiranya langkah-langkah berkenaan tidak diperkenalkan, negara mungkin berdepan dengan nasib yang sama seperti Greece. Muhammad dilantik sebagai Gabenor Bank Negara kelapan berkuatkuasa 1 Mei bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang bersara selepas menerajui bank pusat itu selama 16 tahun. Najib berkata sekiranya "ditarik atau ditolak" RM40 bilion daripada hasil negara setahun, ia akan memberi implikasi dan kesan kepada negara. "Jadi pengenalan GST, walaupun barang naik sikit, telah memberi asas kekuatan kepada hasil revenue base yang lebih besar kepada kerajaan dan negara kita," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, Isnin. Tambah beliau, pengenalan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan langkah memberi kelonggaran cukai termasuk pengecualian barangan GST 'zero-rated' adalah untuk melindungi rakyat daripada tekanan ekoran pelaksanaan GST. "Walaupun ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini, pembangkang telah menggunakan GST sebagai isu namun nampaknya rakyat semakin hari semakin faham dan melihat langkah itu adalah wajar dan tepat dan adalah demi masa depan dan kepentingan rakyat," katanya. Perdana Menteri berkata ketika ekonomi dunia berdepan dengan kejatuhan harga minyak dan juga harga komoditi lain, kerajaan masih lagi mampu menjalankan dan melaksana pelbagai program untuk rakyat. "Kita juga masih boleh mampu melaksanakan pelbagai program dan mampu menjaga kebajikan pengawai-pegawai perkhidmatan awam termasuk kenaikan tahunan khas satu mata tangga gaji bermula 1 Julai yang akan tetap dilaksanakan serta gaji minimum yang lebih tinggi, kita juga akan laksanakan," katanya. Dalam pada itu, beliau menggesa semua sektor termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) untuk meningkatkan produktiviti masing-masing. "Kita telah mencatatkan pencapaian 2.3 peratus untuk produktiviti negara ketika Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) dan kita tidak boleh meneruskan dengan pencapaian setakat itu sahaja kerana di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) kita menyasarkan produktiviti pada tahap 3.7 peratus," katanya. Najib berkata anggota pentadbiran dan penjawat awam perlu melihat dasar atau tindakan yang boleh diambil untuk menggalakkan sektor swasta dan IKS meningkatkan produktiviti masing-masing. -BERNAMA