suria

Ibu, Anak Perempuan Maut, Van Langgar Lori Rosak

BINTANGOR: Seorang ibu dan anak perempuannya maut apabila van yang dinaiki bersama tiga lagi anggota keluarga melanggar belakang sebuah lori rosak di Kilometer 17 Jalan Bintagor-Sibu, berhampiran Jalan Tulai dekat sini, Ahad malam.

Ketua Polis Daerah Bintangor Deputi Superitendan Mohamad Hafipi Mohd Salim berkata, dalam kejadian pada 10.05 malam itu, keluarga berkenaan sedang dalam perjalanan dari bandar Sibu ke pekan Bintangor.

Menurut Mohamad Hafipi, Ngu Heng Lang, 59, yang duduk di tempat duduk penumpang belakang dan anak perempunnya Ting Li Cheng, 17, maut di tempat kejadian.

Seorang anggota keluarga mereka iaitu Ting Yang Yang, 14, hanya cedera ringan manakala pemandu Ting Li Seng, 22, dan penumpang belakang van berkenaan, Ting Sung Thing, 49, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu van dipercayai hilang kawalan dan terlanggar bahagian belakang lori di bahu jalan," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Menurut Mohamad Hafipi, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat dan waris mangsa juga dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

Katanya, jalan di lokasi kejadian adalah lurus tetapi gelap.

Polis akan mengesan pemilik lori itu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan