suria

Mengenali Dubai Dari Dekat...

DUBAI merupakan sebuah bandar raya yang tidak asing lagi dan sering mendapat perhatian dunia namun mungkin tidak ramai yang tahu bandar raya di tepi Teluk Arab ini hanya mula membangun dengan pesatnya dalam tempoh kurang dari 20 tahun kebelakangan ini.

Dubai adalah ibu kota bagi Emiriah Dubai (Emirate of Dubai), iaitu salah satu dari tujuh Emiriah yang membentuk negara Emiriah Arab Bersatu (United Arab Emirates - UAE). Enam lagi Emiriah yang membentuk UAE adalah Abu Dhabi, Ajman, Ras Al Khaimah, Fujairah, Umm Quwwain dan Sharjah, yang masing-masing mempunyai nama ibu kota yang sama sebagaimana nama kesemua Emiriah tersebut.

Daripada kesemua Emiriah yang disebutkan di atas, Emiriah Abu Dhabi merupakan Emiriah yang terbesar dari segi kawasan geografi berbanding Emiriah yang lain. Disebabkan saiz geografi dan juga kekayaan petrolium dan gas yang dimiliki oleh Abu Dhabi, kuasa politik UAE berpusat di Abu Dhabi yang menyaksikan jawatan presiden UAE kini disandang oleh pemerintah Abu Dhabi iaitu Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.

Ia juga merupakan Emiriah yang kedua terbesar dari segi geografi dan oleh yang demikian jawatan perdana menteri UAE kini disandang oleh pemerintah Dubai iaitu Sheikh Mohammad bin Rashid Al Maktoum.

KEPELBAGAIAN

Kerajaan UAE sebenarnya ditadbirkan oleh sebuah Majlis Tertinggi yang terdiri daripada kesemua pemerintah dari tujuh Emiriah yang disebut tadi namun secara tradisi, jawatan presiden dan perdana menteri dianggap tidak tercabar dan disandang oleh pemerintah Abu Dhabi dan Dubai.

Secara umumnya, hampir kesemua Emiriah di dalam UAE bergantung kepada hasil petrolium sebagai sumber ekonomi namun Dubai merupakan suatu pengecualian. Disebabkan langkah pemerintah Dubai yang berwawasan untuk mempelbagaikan ekonominya berdasarkan simpanan minyak (oil reserves) yang lebih kecil berbanding dengan Abu Dhabi, Dubai kini tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil minyak sebagai sumber utama ekonominya. Sayugia diingat, 85% dari sumber ekonomi UAE diperolehi daripada hasil ekspot minyak.

Hasil dari polisi mempelbagaikan ekonomi Dubai, sektor pelancongan dan perkhidmatan kewangan kini merupakan antara sumber ekonomi yang paling besar untuk Emiriah tersebut. Pembangunan seiring sektor hartanah dan infrastruktur yang pesat turut membantu sektor pelancongan Dubai sehingga diiktiraf sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang terkemuka di dunia.

Pada tahun 2013, Dubai telah menerima kedatangan 10 juta orang pelancong. Tidak hairanlah sekiranya Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai kini disenaraikan di antara tiga lapangan terbang yang paling sibuk di dunia untuk tahun 2015. Sebanyak 78 juta penumpang dianggarkan telah mengguna khidmat lapangan terbang tersebut.

Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai adalah suatu kesah kejayaan yang amat membanggakan untuk Emiriah kecil yang hanya mempunyai keluasan geografi sebanyak 3900km persegi.

Pada hal lebih kurang 30 tahun yang lalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai – atau lebih dikenali sebagai DXB di kalangan penumpang pesawat antarabangsa – hanyalah merupakan sebuah perhentian transit pertengahan jalan di tengah-tengah padang pasir untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke London di mana pesawat di masa itu terpaksa berhenti untuk mengisi minyak  sebelum boleh meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir.

Disebabkan pembangunan pesat sektor pelancongan Dubai, syarikat penerbangan antarabangsa milik pemerintah Dubai turut menerima tempias keuntungan ekonomi. Salah satu daripada hasil kepelbagaian ekonomi Dubai adalah pembentukan dan seterusnya pembangunan jenama ‘Emirates’, iaitu nama syarikat penerbangan yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Pelaburan Dubai (Dubai Investment Corporation).

JENAMA EMIRATES

Hari ini, siapa tidak kenal dengan jenama Emirates? Nama Emirates dipapar hampir di serata tempat di dunia termasuklah dikaitkan dengan kelab-kelab bolasepak terkemuka dunia di serata Eropah.

Hari ini, Emirates membentuk kerjasama dalam bentuk tajaan dengan kelab-kelab seperti Real Madrid di Sepanyol, Arsenal di England, AC Milan di Itali, SV Hamburg di Jerman, Paris St Germain di Perancis, SL Benfica di Portugal dan Olympiacos FC di Greece. 

Dubai kini merupakan sebuah bandar raya yang mempunyai hampir 2 juta orang penduduk iaitu lebih kurang 37% daripada jumlah keseluruhan penduduk UAE sementara penduduk Abu Dhabi pula membentuk 32% daripada jumlah keseluruhan penduduk UAE.

Ini bermakna, lebih dari dua pertiga keseluruhan penduduk UAE bertumpu di Dubai dan Abu Dhabi. Hari ini Dubai dikenali di kacamata dunia sebagai sebuah bandar raya UAE yang terkenal untuk membeli belah bebas cukai, senibina pembangunan yang mengagumkan dan kehidupan sebelah malam yang menarik.

Ia merupakan bandar raya global dan pusat perniagaan Timur Tengah disamping menjadi pusat pengangkutan untuk penumpang dan juga barangan (kargo). Kesan daripada pembangunan pesat Dubai adalah gelaran bandar raya yang paling mahal di Timur Tengah. Malah, pada tahun 2014 kadar bilik hotel di Dubai pernah dicatatkan sebagai yang kedua termahal di dunia selepas Geneva.

Namun, tidak semua penduduk Dubai mampu untuk mendiami bandar raya yang mahal ini. Oleh yang demikian, adalah menjadi suatu fenomena harian untuk melihat kesesakan lalulintas di antara Emiriah Dubai dan Emiriah Sharjah, dua Emiriah yang berkedudukan sebelah menyebelah, terutamanya di waktu pagi dan senja.

Di waktu pagi, lalulintas sesak menuju ke Dubai dan di waktu senja keadaan sebaliknya berlaku di mana lalulintas sesak menuju ke Sharjah. Hal ini disebabkan kadar sewa rumah dan kos sara kehidupan yang lebih rendah di Sharjah berbanding Dubai dan kebanyakan penduduk Sharjah mempunyai pekerjaan di Dubai.

Kini Dubai lebih dikenali dengan tanda mercu Menara Khalifa (Burj Khalifa), sebuah bangunan ikonik berlatarbelakang senibina Islam setinggi 830 meter yang terpacak megah di sekitar bangunan-bangunan pencakar langit yang lain di tengah-tengah bandar raya ini atau lebih dikenali sebagai Downtown Dubai.

Dubai yang asal atau pun Dubai lama kini terletak di kawasan Deira di mana pedagang pedagang kapal menggunakan khidmat pelabuhan Dubai di kuala Sungai Dubai di kawasan Al Ras untuk berurus niaga.

Pembangunan pesat sejak 20 tahun kebelakangan ini telah melahirkan kawasan-kawasan baru seperti Jumeirah dan Jebel Ali.

Di kaki Menara Khalifa, terdapat air pancut Dubai (Dubai Fountain) yang dihiasi dengan semburan air dan cahaya yang mengikut rentak muzik pada waktu-waktu tertentu setiap hari.Ia kini menjadi daya tarikan baru para pelancong.

Selain dari bangunan pencakar langit, Dubai juga terkenal dengan pulau-pulau buatan manusia di persisiran pantainya yang dikenali dengan nama Atlantis, The Palm dan The World.

Namun, kejayaan ekonomi Dubai hari ini tidak dicapai tanpa liku-liku kegagalan akibat memburu pembangunan yang terlalu pesat. Susulan pembangunan pesat sektor hartanah, sektor kewangan dan perbankan, UAE turut terdedah akibat memberi pinjaman kewangan yang berlebihan kepada syarikat-syarikat pemaju dan hartanah.

Menara Khalifa pada asalnya bernama Menara Dubai (Burj Dubai). Ia mula dibina oleh pemajunya, syarikat hartanah Emaar dalam tahun 2004 dan siap sepenuhnya lima tahun kemudian dalam keadaan Dubai berhadapan dengan pergolakan krisis kewangan global.

Oleh kerana Dubai menghadapi kesukaran kewangan, kerajaan Abu Dhabi dilaporkan telah menghulurkan bantuan pinjaman kewangan kepada kerajaan Dubai dan sebagai menghargai bantuan kewangan tersebut, menara tersebut diberi nama Burj Khalifa bagi menghormati nama Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.

Upacara menamakan menara tersebut berlangsung sempena sambutan tahun baru 2010 di mana pertunjukan sebanyak 10,000 bunga api dan sinaran cahaya lampu laser di sekeliling menara tersebut telah dipersembahkan kepada orang awam.

Dubai kini sedang membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah acara Expo 2020, sebuah acara global yang dijangka membawa keuntungan ekonomi yang besar untuk bandar raya tersebut. Expo yang sebelumnya, Expo 2015, telah berlangsung di bandar raya Milan, Itali.

Tapak Expo 2020 terletak di sebuah kawasan seluas 438 hektar yang dikenali sebagai Pusat Dagangan Jebel Ali Dubai, iaitu sebuah kawasan di antara Dubai dan Abu Dhabi. Adalah dijangkakan Expo 2020 akan dapat menyediakan hampir 270,000 pekerjaan dan menjana aktiviti perniagaan yang bakal menghasilkan pendapatan berbilion Dirham untuk ekonomi Dubai.

Dubai, Teluk Arab, UAE

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan