suria

Stesen LRT Pasar Seni Kecoh Dengan Beg Disangka Bom

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki membiarkan begnya tanpa pengawasan mencetuskan kekecohan di stesen LRT Pasar Seni, di sini, apabila disangka mengandungi bom.

Insiden pukul 11.24 pagi Selasa, mengakibatkan panik dalam kalangan penumpang LRT sehingga memaksa penutupan sementara stesen itu selama kira-kira 20 minit.

Jurucakap Rapid KL Lim Jin Aun dalam kenyataan pada Selasa berkata seorang lelaki separuh umur merantai beg berwarna hitam di besi platform dengan mangga kunci, sebelum meninggalkannya di sana.

"Beg itu dikesan seorang petugas stesen yang kemudian memaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi (OCC) di Depoh Subang.

"Enggan mengambil risiko, OCC kemudian menghubungi polis sebelum mengarahkan stesen itu ditutup sehingga unit pemusnah bom membuat pemeriksaan," katanya.

Berikutan itu, Lim berkata tren LRT dari kedua-dua arah tidak berhenti di stesen berkenaan.

Menurutya lelaki yang mendakwa pemilik beg berkenaan, tiba semula di situ ketika polis dan anggota unit pemusnah bom mahu melakukan pemeriksaan ke atas beg itu.

"Atas arahan polis dan unit pemusnah bom, dia membuka beg itu yang mengandungi barangan peribadinya," katanya.

Lim berkata lelaki itu kemudian ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Berikutan itu, Lim menasihatkan pengguna LRT supaya tidak meninggalkan beg atau barangan mereka tanpa pengawasan ketika berada di stesen LRT, monorel dan terminal bas kerana ia boleh menyusahkan pengguna lain dan pihak berkuasa.

"Ia juga satu kesalahan merantai barangan anda di besi platform di stesen. Tindakan boleh diambil terhadap anda,"tegasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah yang dihubungi mengesahkan insiden tersebut. - BERNAMA

LRT Pasar Seni, kecoh, bom

Artikel Sebelum

Artikel Lain