suria

Khaled Nordin Ajak Ahli Terus Kasihi Umno

Mohamed Khaled Nordin.

JOHOR BARU: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Selasa mengajak semua ahli Umno untuk mengasihi parti itu dan perjuangannya.

Sempena ulang tahun ke-70 Umno pada Rabu, beliau menyarankan mereka supaya menumpahkan keringat, masa dan ikhtiar bagi mencipta masa depan yang lebih baik supaya parti itu kekal menjadi institusi terbaik bangsa Melayu.

"Kita harus melakukannya secara kolektif. Satu parti, satu perjuangan, satu bangsa, semuanya saling mendukung, erat dan mengukuhkan," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Menteri Besar Johor itu berkata tidak ada sesiapa boleh menafikan bahawa Umno adalah pacuan sebenar yang membina Malaysia dan Umno juga menerajui kelahiran Malaysia yang berdaya saing, moden serta berperwatakan global.

Beliau berkata Umno sebagai wadah politik yang menambaih baik kedudukan, pengaruh dan kelangsungan bangsa Melayu juga adalah satu-satunya aspirasi politik kepada pendirian bangsa untuk memperjuangkan orang Melayu dan kepentingannya.

"Akhirnya, marilah kita memohon kepada Ilahi agar memulihara Umno dan mengizinkan ia dipimpin oleh mereka yang terbaik agar akan tercipta dan terzahir darinya, segala pencerahan untuk bangsa Melayu dan Malaysia tercinta.

"Cintailah Umno, yakinilah ia dan perjuangkanlahnya" kata Mohamed Khaled. - BERNAMA

Mohamed Khaled Nordin, Umno

Artikel Lain