BUTTERWORTH: Sebuah bangunan dua tingkat asrama Madrasah Tahfiz Al-Quran Raudhatul Ulum, Bagan Selat, di sini musnah dalam kebakaran pada Selasa malam. Terdapat lima pelajar lelaki dan seorang ustaz di asrama itu ketika kebakaran pada pukul 12.45 malam itu. Kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri. Penolong Kanan Penguasa Bomba II Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd Faizwan Che Ahmad berkata anggota bomba mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan lain. "Semasa jentera pertama tiba, api sedang marak dan memusnahkan sebahagian bangunan dua tingkat yang dijadikan asrama di sekolah tahfiz itu ... api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira tiga jam kemudian," katanya di sini, Rabu. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. Sementara itu, pemilik pusat tahfiz berkenaan Abdullah Ahmad, 71, yang tidur di tingkat bawah asrama itu, berkata hanya lima pelajar berusia 11 hingga 14 tahun berada di asrama bersama-sama seorang ustaz manakala lima lagi pelajar pulang ke rumah masing-masing. "Saya terdengar bunyi pelik di tingkat atas dan ingatkan ada pelajar bergaduh. Saya sedar berlaku kebakaran apabila diberitahu oleh anak lelaki saya ada api di tingkat atas. "Kami semua tak sempat menyelamatkan apa-apa ... semuanya tinggal sehelai sepinggang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di madrasah itu. Beliau mendakwa kebakaran itu menyebabkan pihaknya kerugian kira-kira RM600,000 dan orang ramai yang ingin menyumbang bagi pembinaan semula bangunan itu boleh menghubungi beliau di talian 013-4176818. Seorang pelajar Mohd Shahmil Azman, 14, berkata dia mengejutkan kawan-kawan lain untuk menyelamatkan diri selepas terhidu bau asap yang kuat. "Waktu itu asap sudah tebal dan ustaz juga menjerit suruh kami turun selamatkan diri ... tak sempat ambil apa-apa kerana takut terperangkap dalam api," katanya.