MELAKA: Seorang timbalan penolong pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Melaka dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,400 pada 2014. Marzuan Sungep, 56, dan isterinya Norizan Hashim, 40, seorang surirumah didakwa menerima semua suapan itu daripada Helmida Mukhlis kononnya sebagai upah mendapatkan permit kerja sah daripada Jabatan Imigresen. Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menerima suapan wang tunai RM300 di Kedai Percetakan I Love Printing, No 5, Jalan Wangi 2, Taman Wangi, Malim Jaya di sini pada 12.30 tengah hari, 13 Nov 2014. Mereka dijuga didakwa menerima suapan wang tunai RM500 di sebuah stesen minyak Shell Bachang di PT 4553, Jalan Bachang di sini pada pukul 10 pagi, 14 Nov 2014. Bagi dua lagi pertuduhan, kedua-duanya didakwa menerima suapan wang tunai RM2,600 pada 6 petang, 17 Nov 2014 dan RM2,000 pada 10.30 malam hari sama di Kampung Pasir Putih, Bachang. Marzuan dan Norizan didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi. Marzuan ketika memohon wang jaminan dikurangkan bagi dirinya dan isteri berkata dia menghidap gangguan mental yang tidak boleh dikesan melalui perubatan moden dan sedang mendapatkan rawatan tradisional, selain tidak mempunyai pendapatan tetap kerana sudah tidak hadir bertugas. Hakim Norma Ismail membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 13 Jun depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Ong Cheng Hian manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.