KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua individu disyaki terlibat dalam pengedaran dadah dan merampas tujuh ketul ganja mampat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah, Rabu. Perkara ini disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam catatan di akaun Twitter beliau. Khalid berkata serbuan itu dilakukan oleh Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) Kota Kinabalu. Menurut Khalid, dadah itu diseludup dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Khalid turut mengucapkan syabas kepada pasukan STING berkenaan. "Syabas STING @PDRM tangkap dua orang di Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan rampas tujuh ketul ganja mampat yang diseludup dari KLIA. #GoPDRMGo," katanya.