Ketua Kaum bagi rumah panjang 27 pintu itu, Asmidy Agau Lerang, 65, berkata setakat ini semua penghuni selamat cuma kehilangan harta benda yang belum dapat dipastikan jumlah kerugiannya.
"Kejadian berlaku pada 12.15 tengah hari tadi tetapi semasa kejadian berlaku ramai keluar bekerja di kebun dan ladang sawit," katanya ketika dihubungi Bernama.
Asmidy berkata buat masa ini kesemua mangsa kebakaran memerlukan tempat tinggal sementara dan turut menunggu bantuan lain.
Rumah panjang tersebut terletak di Belaga lebih 400km dari bandaraya Miri yang mengambil masa perjalanan lapan jam dari bandaraya Miri dan lima jam dari bandar Bintulu.
Ketika Bernama menghubungi Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu Unjar Lum berkata pihaknya sedang dalam perjalanan ke rumah panjang tersebut.
"Jalan yang dilalui tidak semua bertar dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk tiba ke tempat kejadian dalam tempoh lima jam bergantung kepada cuaca dan keadaan jalan," katanya.
Untuk rekod laporan awal yang diterima daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu, panggilan kecemasan diterima pada 12.52 tengah hari ini.
Anggota Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong turut bergegas ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera kepada mangsa kebakaran.