suria

Mempelam Murah Bantu Atasi Kekurangan Bekalan Harumanis

PETALING JAYA: Fenomena El Nino sejak awal tahun ini memberi kesan terhadap pengeluaran mempelam Harumanis yang menyaksikan kemerosotan sebanyak hampir 40 peratus.

Fenomena itu bukan sahaja menyebabkan kenaikan harga dan kekurangan bekalan Harumanis, malah ada peniaga yang mencuri peluang ini dengan menjual mempelam yang rupabentuknya seakan-akan seperti Harumanis sebagai Harumanis.

Akibatnya ada pembeli yang terpedaya dan membeli mempelam seakan-akan Harumanis itu dengan harga yang berlipat kali ganda. 

Pengurus Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Perlis, Othman Ismail berkata 'Harumanis' yang membanjiri pasaran pada ketika ini sebenarnya mempelam seperti Tong Dam, Sala dan Arumanis dari Thailand.

"Warna kulit dan saiz mempelam itu hampir sama tetapi ia bukan Harumanis.

"Harumanis mempunyai berat sekitar 600 gram sebiji tetapi bagi mempelam seperti Sala, beratnya boleh mencecah antara 750 gram dan 1 kilogram," katanya.

Beliau berkata bentuk sebenar Harumanis mempunyai lekuk di bahagian bawah dan ada kalanya berbentuk ganjil tidak seperti mempelam lain.

Menurut Othman, harga pasaran semasa untuk Harumanis adalah antara RM35 dan RM40 sekilo manakala harga pengedar dari ladang dianggarkan sekitar RM25 sekilo.

Mempelam Sala dan Arumanis hanya dijual sekitar RM8 sekilo manakala jenis Tong Dam boleh didapati antara RM5 dan RM10 sekilo.

Pemilik dusun dan pengedar Harumanis, Dr Bidin Yatin berkata terdapat perbezaan antara Harumanis asli dengan mempelam lain.

"Walaupun mempelam dari negara jiran itu kelihatan menarik di mata pelanggan, ia tidak semanis dan beraroma seperti Harumanis," kata Dr Bidin.

Jelas beliau, beberapa mempelam lain ditawarkan menggantikan Harumanis sejak dua tahun lalu apabila harganya mula meningkat.

"Kami amat bimbang kerana ia akan menjejaskan nama baik buah yang menjadi ikon negeri Perlis itu," katanya.

Pada Selasa, Bernama melaporkan kerajaan Perlis mengambil langkah proaktif meminta SIRIM merekabentuk label khas mempelam harumanis demi memelihara kepentingan pengusaha ikon Perlis itu. 


Artikel Berikut

Artikel Lain