BAGAN SERAI: Pulau Orang Utan Bukit Merah yang ditutup sejak 11 April lepas berikutan paras air Tasik Bukit Merah menyusut akan dibuka semula kepada orang ramai mulai esok. Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pulau Orang Utan Dr D.Sabapathy berkata pembukaan semula pulau itu dibuat berikutan paras air di tasik berkenaan telah naik setinggi satu meter. "Dengan peningkatan paras air ini, maka perkhidmatan bot yang dihentikan sebelum ini kini boleh beroperasi semula," katanya dalam sidang media di Pulau Orang Utan di sini, Khamis. Menurut Dr Sabapathy berikutan pembukaan semula pulau itu, pihaknya akan memberikan diskaun harga tiket selama sebulan mulai esok. "Kadar bayaran tiket promosi ialah RM25 seorang bagi dewasa berbanding RM30, manakala kanak-kanak ialah RM15 berbanding RM18 seorang," ktanya. Dr Sabapathy berkata sejak ditutup April lepas pihaknya menanggung kerugian kira-kira RM250,000 kerana tidak menerima sebarang pengunjung sedangkan kos operasi bulanan adalah di antara RM150,000 hingga RM200,000. Katanya tahun lalu pulau itu menerima 45,000 pengunjung dengan 80 peratus daripadanya adalah dari luar negara seperti Jepun, Arab Saudi, Itali dan Amerika Syarikat. Untuk tahun ini, pihak pengurusan menyasarkan jumlah pengunjung adalah seramai 55,000 orang, katanya. Pulau Orang Utan yang dibuka sejak tahun 2000 kini memelihara 24 ekor mamalia itu yang berumur antara tiga bulan hingga 30 tahun.