KUALA LUMPUR: MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd, rakan pelaksana projek Mass Rapid Transit (MRT) menjelaskan bahawa banjir kilat yang berlaku dekat Jalan Tuanku Abdul Halim semalam tidak berkaitan dengan pembinaan MRT. MMC Gamuda KVMRT (PDP) dalam kenyataan pada Jumaat berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, insiden itu bukan disebabkan atau berkaitan dengan pembinaan MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK). "Kerja-kerja pembinaan sekarang di tapak kerja MRT Jalan Tuanku Abdul Halim dijalankan di atas jejambat bertingkat MRT seperti tren dan kerja-kerja sistem semboyan. "Aktiviti di atas tanah seperti kerja-kerja awam dan saliran tetap telah siap dan diselenggarakan dengan baik," kata kenyataan itu. MMC Gamuda KVMRT (PDP) akan terus bekerja bersama-tangan dengan Kontraktor Pakej Kerja untuk memberi sokongan kepada orang ramai di sepanjang jajaran MRT SBK semasa musim hujan ini.