PETALING JAYA: Rayani Air memohon supaya tempoh penggantungan operasi syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu dilanjutkan tiga bulan lagi, menjadikan keseluruhannya enam bulan. Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran berkata, cadangan tempoh tambahan itu dibuat bagi membolehkan pihak pengurusan menjual saham syarikat dan memastikan urusan berkenaan berjalan lancar. Katanya, cadangan itu dikemukakan isterinya, Datuk Karthiyani Govindan yang juga Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia syarikat itu kepada Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman semasa sesi inkuiri pada Khamis. "Kita minta tempoh penggantungan dilanjutkan kepada tiga bulan, tambahan kepada tiga bulan yang diputuskan DCA sebelum ini. "Lanjutan ini bagi membolehkan urusan perbincangan bersama pelabur dapat berjalan lebih lancar. Kita masih lagi berunding dengan beberapa pelabur dan proses penelitian dan rundingan sedang berjalan," katanya kepada mStar Online. Pada Khamis, pihak pengurusan Rayani Air mengadakan pertemuan dengan DCA susulan penggantungan operasi syarikat penerbangan itu selama tiga bulan, berkuat kuasa 11 April lalu. Ravi bagaimanapun tidak menghadiri sesi inkuiri itu selepas dimasukkan ke pusat perubatan di Klang kerana tekanan darah tinggi pada Rabu. Menurut sumber Rayani Air kepada mStar Online, cadangan melanjutkan tempoh berkenaan bagaimanapun belum mendapat kelulusan DCA setakat ini. "Kita baharu mencadangkan tempoh lanjutan tiga bulan itu semasa sesi inkuiri tetapi Datuk Azhar belum memberi kata putus," katanya. Difahamkan, DCA akan mengeluarkan kenyataan media pada Jumaat berhubung inkuiri terhadap Rayani Air. Menurut sumber itu lagi, cadangan melanjutkan tiga bulan tempoh penggantungan tersebut dianggap bersesuaian bagi melancarkan urusan rundingan bersama pelabur. "Jika dalam tempoh tiga bulan itu, kita mendapat pelabur yang bersetuju membeli saham Rayani Air lebih awal, kita mungkin akan memendekkan tempoh berkenaan. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada kelulusan DCA," jelas sumber itu. Ravi bagaimanapun enggan memberi sebarang komen ketika ditanya mengenai nasib kira-kira 400 pekerjanya dalam tempoh penggantungan operasi syarikat selama enam bulan, termasuk lanjutan tiga bulan sekiranya dibenarkan. Rayani Air ketika ini sedang berdepan dengan tunggakan gaji pekerjanya selama dua bulan berjumlah kira-kira RM3 juta. Syarikat penerbangan itu turut dilanda pelbagai masalah lain seperti pembatalan penerbangan, isu teknikal dan penggantungan operasi tanpa kebenaran DCA.