suria

Empat Mangsa Bot Karam Selamat Tiba Di KKIA

Mangsa warga Sepanyol, Martha Miguel melambai-lambaikan tangannya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira pukul 9.15 pagi Jumaat. -fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Empat mangsa yang hilang di perairan Pulau Balambangan, Kudat, pada 2 Mei lepas, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini.

Mereka tiba dengan pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira pukul 9.15 pagi tadi.

Ketibaan kesemua mangsa diiringi Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Zubil Mat Som dan disambut anggota keluarga dan rakan mereka.

Pasangan suami isteri warga Sepanyol David Hernandez Gasulla dan Martha Miguel; seorang warga China Lam Wai Yin Tommy dan wanita tempatan, Armella Ali Hassan dijumpai selamat kira-kira pukul 8.30 pagi, Khamis.

Mereka ditemui berada di sebuah bot milik nelayan Vietnam di perairan Pulau Amboyna Cay berhampiran sempadan Malaysia-Vietnam, kira-kira 240 batu nautika dari perairan Kudat.

Keempat-empat mangsa kemudian dibawa ke sebuah hospital swasta di sini menggunakan ambulan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mohd Zubil berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan secara rasmi pada pukul 4 petang semalam, sejak beroperasi pada 3 Mei lepas.

Katanya APMM telah memindahkan mangsa dari bot nelayan Vietnam itu ke atas kapal KM Bistari pada pukul 6 petang semalam dalam proses pemindahan yang mengambil masa antara 10 dan 15 minit.

Beliau berkata kesemua mangsa kemudian dibawa ke Stesen Lima Tentera Laut Diraja Malaysia di Pulau Layang-Layang untuk diberikan rawatan awal, makanan dan rehat.

"Ada antara mereka yang mengalami dehidrasi dan kulit melecur kerana cuaca panas," katanya sambil menambah semua mangsa berada dalam keadaan stabil.

Menurut Mohd Zubil, pihaknya akan mengambil keterangan semua mangsa untuk membantu siasatan.
Mengulas lanjut, Mohd Zubil berkata kesemua mangsa diselamatkan nelayan Vietnam itu di kawasan perairan negara.

Menurutnya ketika operasi SAR dilakukan pada malam 3 Mei lalu, mangsa telah ternampak bot penyelamat dan menjerit meminta tolong.

"Namun, disebabkan keadaan gelap, kami terlepas pandang beberapa saat. Saya difahamkan mereka hanyut jauh kerana arus yang kuat. Setiap hari pergerakan mereka seperti perahu layar kerana angin dan arus kuat," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Zubil mencadangkan satu jawatankuasa operasi SAR diwujudkan bagi membincangkan pendekatan terbaik termasuk mempertimbangkan penggunaan aset baharu untuk memperkukuhkan lagi operasi di masa akan datang.

Empat individu itu dilaporkan hilang pada 2 Mei lepas ketika dalam perjalanan dari Pulau Balambangan dan sepatutnya tiba di Tanjung Simpang Mengayau pada pukul 8 malam hari yang sama.
KKIA, bot karam, APMM

Artikel Lain