suria

Sultan Ibrahim Ketuai KMJ Ke-19 Dengan Trak Mack

Sultan Ibrahim melambai tangan ke arah orang ramai sebelum meninggalkan Dataran Bandaraya Johor Baru.

JOHOR BARU: Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2016 edisi ke-19 bermula pada Sabtu dengan menyaksikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengetuai konvoi tersebut dengan trak Mack milik baginda di sini.

Dataran Bandaraya Johor Baru dibanjiri orang ramai yang begitu teruja untuk menyaksikan trak Mack milik kerabat diraja itu selain mengambil bahagian dalam karnival bersempena kembara tersebut.

Sultan Ibrahim diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar, tiba di Dataran kira-kira pukul 8 pagi Sabtu.

Keluarga kerabat diraja itu turut menikmati sarapan pagi bersama dengan Menteri Besar Datuk Mohamed Khaled Nordin, pemimpin kerajaan negeri dan orang ramai yang hadir sebelum memulakan ekspedisi tersebut yang merangkumi jarak perjalanan sepanjang 842 kilometer melalui 10 daerah selama empat hari.

Sultan Ibrahim membunyikan hon dan melambai tangan ke arah orang ramai ketika meninggalkan Dataran di sini kira-kira pukul 9 pagi diikuti dua lagi trak Mack yang lain miliknya.

Konvoi yang membabitkan tiga trak Mack, dua bas, 35 motosikal Harley-Davidson dan 10 kenderaan pacuan empat rida akan berhenti di hentian pertama iaitu gerai Majlis Perbandaran Kulai sebelum meneruskan perjalanan ke Felda Inas di daerah itu.

Kembara itu dijangka menuju ke Kampung Lukut, Kota tinggi untuk berehat dan makan tengah hari sebelum bergerak ke lokasi lain termasuk Legaran Tanah Putih, Kampung Sentosa Sedili, Kota Tinggi dan Tenggaroh 6, Mersing.

Sultan Ibrahim dijangka menamatkan hari pertama kembara itu di Taman Wawasan, Mersing.

Artikel Lain