Ketua Polis Daerah Timur, ACP Mior Faridalatash Wahid berkata murid tahun dua itu diselamatkan oleh polis kira-kira pukul 1 tengah hari ini selepas pulang dari sekolah dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan.
"Kami telah ke rumah kanak-kanak itu dan ketika itu dia baru balik dari sekolah. Sekarang ini dia di bawah jagaan dan perlindungan polis dan JKM," katanya di sini Isnin.
Beliau berkata polis juga telah mengambil keterangan daripada bapa kanak-kanak itu, seorang pemandu van sekolah berusia 45 tahun.
Akhbar hari ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki yang dalam keadaan bogel diikat dengan rantai tali di tangga rumahnya di sebuah flat di Paya Terubung selama lima jam oleh bapanya sebagai denda kerana nakal.