ALOR SETAR: Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 28 tahun mati ditembak di sebuah hotel di Hatyai, Thailand. Laporan media negara jiran menyebut, mayat anak kelahiran Pulau Pinang itu, Mohd Nizam Ahmad Basrah ditemui di Jalan Phadungpakdee, Hatyai oleh penduduk tempatan pada kira-kira pukul 3.30 pagi (waktu tempatan), Ahad. Timbalan Ketua Polis Hatyai, Kolonel Khittichai Sankhathavorn berkata, lelaki itu ditembak ketika menunggang motosikal ke hotel penginapannya. "Dia ditembak di dada dan punggung. Kami menemui kelongsong peluru 9milimeter di tempat kejadian. "Mayatnya telah dibawa ke Hospital Hatyai untuk memastikan jumlah tembakan yang mengenainya," katanya pada sidang media. Beliau berkata, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup yang diperoleh daripada beberapa premis dengan harapan dapat mengenal pasti penjenayah terlibat. Selain itu, katanya, pihaknya juga sedang menyiasat bagi mengetahui pemilik motosikal yang digunakan mangsa.