suria

Bau 'Balm Harimau' Akhiri Pengalaman Pahit Sembilan Hari Di Laut

Lam menunjukkan kesan melepuh pada tangannya disebabkan oleh pancaran matahari.
KOTA KINABALU: Bau kuat 'balm' cap Harimau seolah-olah menjadi 'penyelamat' kepada Tommy Lam Wai Yin dan tiga yang lain ketika mereka hanyut di Laut China Selatan dan tidak ada seorang pun dapat melihat atau membantu mereka.

Mereka sudah berada begitu dekat dengan kawasan perairan Kota Belud dan Labuan tetapi angin kencang telah menghanyutkan mereka selama sembilan hari sehinggalah mereka diselamatkan oleh nelayan Vietnam di perairan Layang Layang.

"Saya telah putus asa pada hari kelapan. Saya beritahu orang lain supaya bersedia untuk mati. Saya berdoa supaya nenek saya meminta bantuan. Saya berjanji saya akan menjadi seorang yang baik dan menjaga cicitnya," kata bapa kepada dua anak itu dalam satu temu bual dengan media terpilih.

"Saya seorang ateis tetapi pada masa itu saya percaya pasti ada kuasa yang lebih besar," katanya, yang semakin pulih daripada mimpi ngeri yang dialami bersama warga Sepanyol David Hernandes Gasulla, 29, Martha Miguel, 30, dan pekerja resort Armella Ali Hassan, 23.

Keempat-empat mereka diselamatkan oleh pasukan keselamatan Malaysia dari Vietnam dan dibawa balik ke sini pada 12 Mei.

Lam, 44, berkata, selepas berdoa, dia terhidu bau 'balm' Harimau yang sangat kuat pada malam kelapan dan berfikir ia adalah satu petanda.

"Saya bertanya Martha jika dia dapat menghidunya, dan dia berkata ya, jadi saya fikir seseorang mesti telah melakukan sesuatu atau meletakkan jampi serapah di atas bot itu atau mungkin ia adalah satu petanda yang baik" katanya, sambil menambah dia kemudian berdoa memohon neneknya menghantar pertolongan sekali lagi.

"Keesokan harinya, saya lihat Martha didatangi haid, jadi saya meminta dia 'mencuci' bot itu dengan darah haid dan air kencing untuk membersihkan unsur-unsur jahat yang mungkin telah diletakkan di situ," katanya.

Lam berkata beberapa jam selepas itu sebuah kapal nelayan Vietnam ternampak mereka dan menarik mereka naik ke atas kapal, menamatkan mimpi ngeri mereka.

"Ia adalah satu perasaan yang terbaik dalam dunia kerana selepas melihat dan terlepas begitu banyak kapal di laut, kami telah putus harapan bahawa bantuan dapat diberikan," katanya sambil menambah 'satu atau dua nelayan tempatan hanya lalu sahaja walaupun mereka menjerit mendapatkan bantuan.

Lam, berkata perjalanan mereka di atas bot baharu yang dinaiki dari Simpang Mengayau telah dipenuhi dengan nasib buruk sejak awal, sebaik sahaja mereka meninggalkan pulau itu kira-kira jam 5.30 petang dan mereka dipukul ombak deras dan perubahan arus dan angin.

"Gelombang besar membuatkan kami tercampak dari bot dan kami lihat ia mengelilingi kami sebelum karam," kata Lam, sambil menambah nasib malang berterusan apabila dia menyedari bahawa dia tidak memakai suis kawalan enjin bot di pergelangan tangan.

"Saya boleh menghentikan enjin sehingga bot karam kerana saya terpaksa menyelamatkan Armella yang tidak tahu berenang," katanya.

Mereka cuba untuk mendapatkan barangan keperluan seperti air minuman tetapi hampir segala-galanya telah karam.

"Apabila kami akhirnya berjaya memanjat ke dalam bot, kami menyedari bahawa telefon bimbit kami telah rosak," katanya, sambil menambah peralatan radio juga telah rosak.


Lam berkata Armella, yang telah meletakkan telefon bimbitnya dalam beg kalis air dalam jaketnya sangat panik dan tidak dapat memberitahu mereka mengenai telefonnya itu sehingga hari ketiga apabila ia sudah kehabisan bateri.

"Saya tidak marah kerana kami baru sahaja dikesan oleh kapal terbang yang melakukan carian jadi saya yakin bantuan akan datang," katanya.

Lam berkata mereka berharap ditarik oleh arus ke kawasan Kota Belud dan kemudian Labuan, tetapi angin meniup mereka ke arah bertentangan.

"Kami berada pada jarak kira-kira enam kilometer dari Labuan, dan saya mahu untuk berenang ke pantai untuk mendapatkan bantuan.

"Saya mengikat tali di pada badan saya tetapi David dan Martha menarik saya kembali kerana ada jerung di kawasan itu," katanya.

Lam, warga China yang berkahwin dengan rakyat Sabah Carrine Ng, berkata apabila bertemu dengan isterinya di lapangan terbang, dia hanya berkata "Saya minta maaf" ketika melihat isterinya itu menangis.

Sekarang, dia tetap akan kembali ke laut tetapi tidak akan membawa bot sendiri lagi.


"Keselamatan akan diberi penekanan mulai sekarang. Semua bot saya akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang diperlukan dan peralatan kecemasan," kata Lam.
bot karam, mangsa bot karam

Artikel Lain