PAPAR: "Saya mesti balik (pulang), ibu bapa saya cari saya", menjadi pendorong Armellah Ali Hassan untuk bertahan selama sembilan hari hanyut di laut tanpa minum dan makan. Wanita berumur 23 tahun itu yang merupakan seorang daripada empat mangsa yang terselamat dalam insiden bot karam di perairan Kudat pada 2 Mei lalu, berkata dia juga sentiasa berzikir, melafazkan azan dan membaca ayat suci al-Quran yang dihafalnya untuk tidak berputus asa. Armella yang bekerja secara sambilan dengan Tommy Place Resort di Tanjung Simpang Mengayau, Kudat, berkata selama terdampar di laut, dia hanya berfikir positif akan selamat kembali ke pangkuan keluarga. Ketika ditemui pemberita di kediaman ibu bapanya di Kampung Bundusan di sini hari ini, masih jelas kelihatan kelupasan kulit pada bahagian tangan dan lengannya namun tenaga dan emosinya boleh dianggap sudah pulih selepas keluar dari hospital Sabtu lalu. Menceritakan kejadian yang menimpanya dan tiga lagi iaitu warga China Tommy Lam Wai Yin, 45, yang juga pemilik resort dan suami isteri warga Sepanyol, David Hernandes Gasulla dan Martha Miguel, kedua-duanya berusia 30 tahun, Armella berkata bot mereka karam dipukul ombak ketika kira-kira lima minit lagi untuk sampai ke Tanjung Simpang Mengayau. Katanya kejadian berlaku semasa matahari sedang terbenam dan menurutnya bot mereka berlepas dari Pulau Balambangan kira-kira pukul 5 petang. Selepas bot terbalik, katanya mereka berjaya membalikkan semula bot berkenaan dan menimba air keluar sebelum menaiki semula bot, bagaimanapun enjin bot tidak boleh dihidupkan sementara sebuah lagi enjin gantian yang dibawa telah tenggelam menyebabkan bot mereka hanyut dibawa arus laut. Menurut Armella, pada hari kedua mereka terdampar di laut, mereka dapat melihat pesawat mencari dan penyelamat tetapi tidak nampak mereka dan pada malam harinya ada melihat kapal (mungkin kapal penyelamat) namun kapal berkenaan juga tidak melihat mereka meskipun mereka membakar jaket keselamatan sambil berteriak untuk menarik perhatian. "Pada hari ketiga, kami dapat melihat dua buah bot nelayan lalu beriringan di kawasan perairan Kota Belud namun kedua-dua buah bot berkenaan tidak mengendahkan (mungkin tidak nampak kami) meskipun kami berteriak meminta tolong," katanya. Armella berkata sepanjang berada di laut, dia mengalami sesak nafas sebanyak dua kali iaitu pada hari ketiga dan hari kelapan namun setiap kali mengalaminya dia akan mengucap (dua kalimah syahadah) tiga kali dan selepas itu dia merasakan kekuatan untuk terus hidup. Bagaimanapun katanya pada hari kesembilan iaitu pada 10 Mei, mereka terserempak dengan bot nelayan Vietnam kira-kira 10 pagi dan nelayan berkenan menyelamatkan mereka serta memberikan mereka minum air dan makan bubur. "Semasa melihat bot nelayan warga Vietnam berkenaan, saya cuma fikir mahu naik ke atas bot itu. Tidak kiralah sama ada orang di atas bot berkenaan orang baik atau orang jahat. Saya mahu selamat dahulu. Perkara lain saya akan fikirkan kemudian," katanya. Armella berkata sepanjang tiga hari mereka berada di atas bot nelayan Vietnam berkenaan, sebelum mereka dipindahkan ke kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 12 Mei, mereka dilayan dengan baik termasuk diberi pakaian dan makanan secukupnya.