KUANTAN: Seorang jurulatih dan pelatih penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terselamat selepas pesawat latihan Aermacchi MB339CM terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Serum, Pekan dekat sini, tengah hari Selasa.
Pesawat yang berpangkalan di TUDM Kuantan itu dilaporkan terhempas akibat kerosakan teknikal semasa mangsa menjalani latihan penerbangan.
Penguasa Kanan Bomba II Bahagian Operasi Pahang Ashrul Rezal Asbar berkata pelatih penerbangan Leftenan Mohd Hakimi Hairi patah kaki manakala jurulatih, Mejar Nazrul Hafiz Zaimi tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kedua-dua mereka telah diambil oleh helikopter tentera pada pukul 1.37 tengah hari sejurus selepas kejadian itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Selasa.