suria

Audit: Ada Penerima Bantuan Rumah Termiskin Bukan Miskin

GEORGE TOWN: Terdapat penerima bantuan program Pembinaan dan Pembaikan Rumah Rakyat Termiskin di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Barat Daya yang tidak tergolong dalam kategori miskin.

Menurut laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 yang dibentang di Dewan Rakyat pada Isnin, perkara itu adalah antara beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian.

Laporan itu berkata mengikut Garis Panduan Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri (BKKN), seseorang itu tergolong dalam kategori miskin apabila pendapatan isi rumah kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

"Bagi tahun 2014 hingga 2015, PGK adalah RM790 manakala pendapatan per kapita ialah RM220.

"Bagaimanapun bagi program Pembinaan dan Pembaikan Rumah Rakyat Termiskin, tiada kriteria daripada segi pendapatan isi rumah atau pendapatan per kapita yang ditetapkan untuk mengkategorikan seseorang itu berada dalam kategori golongan miskin dan layak menerima bantuan rumah baru atau pembaikan rumah," kata laporan itu.

Semakan audit turut mendapati penerima bantuan yang diluluskan adalah berdasarkan kepada pendapatan, keadaan sosial dan kesihatan seperti ibu atau bapa tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas yang uzur.

"Pihak audit juga mendapati Pejabat Daerah tidak menetapkan kadar minimum dan maksimum jumlah pendapatan isi rumah untuk dikategorikan sebagai miskin.

Lawatan audit antara 19 Oktober hingga 18 November 2015 di SPU, SPT dan Barat Daya mendapati tiga daripada 48 penerima bantuan mengisytiharkan jumlah pendapatan yang meragukan berbanding keadaan rumah mereka," kata laporan itu.

Laporan itu bagaimanapun berkata berdasarkan maklum balas Pejabat Daerah SPT dan DBD bertarikh 14 Mac 2016 tiada sebarang ketetapan mengenai pendapatan maksimum pemohon yang layak dipertimbangkan dan kelulusan dibuat berdasarkan keadaan pemohon semasa membuat permohonan.

Dalam laporan itu juga Ketua Audit Negara berkata kelemahan lain yang ditemui ialah Garis Panduan Pembinaan Rumah Baharu masih belum dimuktamadkan.

"Semakan audit mendapati sejak program itu dilaksanakan mulai tahun 2010, tiada garis panduan disediakan sebagai panduan kepada agensi pelaksana.

"Tanpa garis panduan yang muktamad, pembinaan rumah baharu bagi setiap daerah tidak seragam dari segi bentuk dan spesifikasi," kata laporan itu.

Laporan Audit Negara

Artikel Lain