KUALA LUMPUR: Kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya akan dilaksanakan di 18 buah plaza tol bagi enam lebuh raya bermula dari pukul 12 tengah hari 1 Jun ini. Timbalan Yang Dipertua Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia Sazally Saidi berkata pelaksanaan itu dibuat selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap kecekapan pembayaran tol di negara ini. "Dengan pelaksanaan kutipan tol secara elektronik ini, pengguna lebuh raya perlu menggunakan sama ada kad Touch 'n Go atau SmartTAG untuk melakukan transaksi bayaran tol di plaza tol berkenaan. "Untuk melancarkan operasi tol di kesemua plaza tol, pihak konsesi lebuh raya terbabit akan memastikan kemudahan lorong tambah nilai dan penjualan kad Touch 'n Go di lorong beroperasi 24 jam serta kakitangan akan ditempatkan di lorong bagi membantu masalah yang dialami pengguna," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Lapan belas plaza tol bagi enam lebuh raya yang terlibat adalah Plaza Tol Bagan Ajam, Plaza Tol Perai dan Plaza Tol Sg. Nyior di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR); Plaza Tol Mines dan Plaza Tol Loke Yew di Lebuhraya Sungei Besi (BESRAYA); serta Plaza Tol Ayer Hitam, Plaza Tol Saujana Putra, Plaza Tol Teluk Panglima Garang dan Plaza Tol Pulau Indah di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE). Selain itu, Plaza Tol Bukit Raja, Plaza Tol Kapar, Plaza Tol Kapar Moc A dan Plaza Tol Kapar Moc B di Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (NNKSB); Plaza Tol PB2X di Jambatan Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (JSAHMS) serta Plaza Tol Sungai Ramal, Plaza Tol Bukit Kajang, Plaza Tol Sungai Long dan Plaza Tol Sungai Balak di Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK). Menurut kenyataan itu, orang ramai boleh hubungi hotline BORR 04-3299999, BESRAYA 1800 88 0999, SKVE 1300 88 0026, NNKSB 03-33420564, JSAHMS 1300 30 2828 dan SILK 03-89210123 bagi sebarang pertanyaan berkenaan pelaksanaan sistem itu.