KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, anak-anak dan empat cucunya pada Rabu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan penjara yang tidak membenarkan anggota keluarga Anwar melakukan sentuhan fizikal ketika melawatnya di penjara. Anwar, 68, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 63, dan empat anak perempuan mereka Nurul Izzah, 35, Nurul Nuha, 32, Nurul Ilham, 28, dan Nurul Iman, 25, memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Daim and Gamany di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri selaku responden. Turut memfailkan permohonan itu ialah anak Nurul Izzah, Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar dan Raja Ahmad Harith, masing-masing berumur sembilan dan tujuh tahun serta anak Nurul Nuha iaitu Sulaimaan Mohamad Khairul, dan Yahya, masing-masing berumur empat dan tiga tahun. Mereka yang memfailkan permohonan melalui peguam N. Surendran dan Latheefa Koya, memohon perintah bahawa keputusan pengarah Penjara Sungai Buloh bertarikh 14 Mac lepas yang tidak membenarkan sentuhan fizikal antara Anwar dan kesemua anggota keluarga dibatalkan. Mereka mendakwa semasa lawatan ke penjara yang dibenarkan setiap tiga minggu sekali, Anwar yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, telah dipisahkan daripada mereka melalui dinding kaca dan percakapan hanya dibuat melalui telefon. Anwar melalui surat peguam caranya bertarikh 2 Mac lepas, telah memohon kepada ketiga-tiga responden supaya membenarkan sentuhan fizikal semasa lawatan keluarga ke penjara tetapi mendakwa pengarah Penjara Sungai Buloh menolak permohonan berkenaan melalui surat bertarikh 14 Mac. Kesemua pemohon mendakwa penafian sentuhan fizikal itu menyebabkan penderitaan terhadap mereka, tidak munasabah, tidak sah dan melanggar Akta Penjara 1995 dan Peraturan-Peraturan Penjara 2000 serta melanggar Artikel 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.