suria

Individu 'Lantang Bersuara' Perlu Semak Status Perjalanan

Nur Jazlan Mohamad.

KUALA LUMPUR: Ahli politik dan aktivis yang 'lantang bersuara' perlu memeriksa status perjalanan mereka dengan Jabatan Imigresen sebelum meninggalkan negara, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad berkata rakyat khususnya ahli politik tidak perlu menunggu pemberitahuan daripada Jabatan Imigresen tetapi perlu menyemak status mereka atas inisiatif sendiri.

"Merujuk kepada Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin, dia perlu menyemak status dengan Jabatan Imigresen sama ada dia masih dihalang daripada meninggalkan negara atau tidak. Jangan tunggu, semak dengan Jabatan Imigresen," katanya di lobi Parlimen pada Rabu.

Tambahnya, tidak ramai rakyat malaysia dihalang keluar negara kerana menghina atau memfitnah negara.

Ditanya bagaimana kerajaan memutuskan jika kenyataan itu berunsur fitnah kepada negara, Nur Jazlan berkata ia berdasarkan budi bicara Ketua Pengarah Jabatan Imigresen.

"Jika anda fikir kenyataan individu seperti Alvin Tan di laman Facebooknya menghina agama dan sebagainya, jika kita rasa ia menghina negara, jadi kita boleh ambil tindakan," katanya.

Nur Jazlan berkata kayu pengukur bagi keputusan itu bergantung kepada reaksi orang ramai.

"Ia adalah mengenai apa yang dikatakan terhadap segelintir individu. Oleh itu, kita mendapat reaksi daripada orang ramai.

"Apa yang saya katakan adalah kuasa untuk masuk atau keluar negara adalah mengikut budi bicara (ketua pengarah) dan beliau juga mengeluarkan pasport yang sebenarnya adalah keistimewaan bukan hak.

"Oleh itu, mereka menjalankan tugas dengan kepentingan rakyat Malaysia di dalam fikiran," katanya.

Beliau berkata kes sering berbeza dan oleh itu ia bergantung kepada budi bicara ketua pengarah Jabatan Imigresen.

"Sesetengah orang melakukan perkara atas kapasiti individu. Ia tidak memberi kesan kepada rakyat secara langsung tetapi ia mungkin menjejaskan imej negara.

Pada Ahad, difahamkan Chin dilarang meninggalkan negara apabila mahu berlepas ke Korea Selatan untuk menerima anugerah hak asasi manusia.

Artikel Lain