KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low untuk membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika perlu, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN). Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu, KDN berkata pihak polis hanya akan memanggil Jho Low sekiranya terdapat keperluan untuk beliau hadir bagi membantu siasatan. "Setakat hari ini, tiada sebarang pertemuan di antara pihak polis dan Jho Low," katanya menjawab soalan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru). Sim bertanya sama ada Jho Low telah berjumpa dengan pihak polis berkenaan dengan siasatan kes 1MDB. Menurut KDN, polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sedang menjalankan siasatan ke atas 1MDB di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu unsur pecah amanah dan penipuan. "Siasatan ke atas 1MDB juga merangkumi kedapatan dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke atas 1MDB," katanya.