suria

Audit: RM10.3 Juta Dibayar Untuk Projek Imigresen Yang Tidak Digunakan

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen telah menyelesaikan bayaran penuh berjumlah RM10.3 juta bagi sistem biometrik dan peralatan dalam pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) yang tidak digunakan, demikian dedah Laporan Ketua Audit Negara 2015.

Semakan yang dijalankan Jabatan Audit turut mendapati kemudahan biometrik myIMMs telah dibekalkan tetapi tidak dipasang dan diguna pakai di pintu-pintu masuk negara bagi tujuan penyaringan dan pengesahan identiti warga asing dan juga warganegara Malaysia.

Sebaliknya, semasa lawatan fizikal, Audit mendapati kemudahan biometrik yang telah dipasang dan digunakan adalah National Enforcement and Registration Biometric System (NERS).

"Pada pendapat Audit, perolehan kemudahan biometrik bernilai Rm10.3 juta dalam perjanjian ini adalah satu pembaziran kepada kerajaan kerana tidak diguna walaupun sudah dibayar dan dibekalkan sepenuhnya oleh kontraktor," kata laporan itu.

Tambahnya Jabatan Imigresen juga tidak dapat mengemukakan bukti pengagihan peralatan pengimbas cap jari semasa lawatan Audit dijalankan.

Sementara itu dari segi pengurusan pekerja asing, Audit mendapati sistem yang digunakan untuk menyaring kemasukan pekerja asing itu tidak memenuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Menurut laporan itu, dari segi pemeriksaan kesihatan pekerja asing, analisis Audit mendapati pada tahun 2014 seramai 3,527 daripada 699,018 pekerja asing di Semenanjung Malaysia diluluskan pas lawatan kerja sementara (PLKS) walaupun rekod kesihatan berstatus "unfit".

"Pada pendapat Audit, kelonggaran kawalan sistem yang membenarkan pekerja asing berstatus unfit bekerja boleh mengundang risiko kepada penularan wabak penyakit," kata laporan itu.

Ia berkata 8,975 permohonan lanjutan PLKS melalui sistem MyEG, iaitu 1,940 pada tahun 2013 dan 7,035 pada 2014, telah diluluskan oleh pengendali MyEG secara automatik dan dalam talian tanpa semakan dan kelulusan pegawai Imigresen.

Laporan itu menegaskan tindakan kelulusan secara automatik oleh MyEG adalah tidak wajar dan menyalahi Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Artikel Lain