suria

Teo, Warga Emas Tertua Jadi Rakyat Malaysia

Teo Kim Len.

PUTRAJAYA: Pada usia 107 tahun, Teo Kim Len merupakan individu tertua yang diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.

Warga emas itu menerima kad pengenalannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tiga minggu sebelum dia menyambut hari lahir ke-108 pada 9 Jun ini.

"Saya tidak dapat tidur dengan nyenyak... saya amat gembira," katanya yang bertutur dalam bahasa Hokkien ketika ditemui di pejabat JPN pada Selasa.

Dengan MyKad, Teo kini akan dapat memenuhi hasratnya untuk menjejak kaki ke China buat pertama kalinya selama lebih 60 tahun untuk melawat saudara-mara dan rakan-rakannya.

"Saya masih mempunyai seorang abang dan seorang anak perempuan tinggal di China. Saya tidak pernah berjumpa mereka selama lebih 50 tahun," kata Teo kepada Sin Chew Daily.

Dilahirkan di wilayah Fujian, China, Teo melalui kehidupan yang sukar selepas kehilangan bapanya pada usia muda.

Dia melakukan kerja sambilan dan membantu ibunya menjual tauhu kering untuk menyara kehidupan adik-beradiknya yang lain.

Ketika berusia 46 tahun, Teo berhijrah ke Malaysia sebagai pekerja sambilan.

Dia membawa bersama dua anaknya, seorang daripadanya masih memegang status penduduk tetap.

Dalam laporan itu tidak menyebut mengenai suaminya.

Sejak beberapa dekad, permohonan Teo untuk menjadi rakyat Malaysia ditolak selama lima kali sehingga penantiannya itu berakhir pada Selasa.

Dia turut berharap agar anak lelakinya turut diterima sebagai rakyat Malaysia dalam masa terdekat.

Teo juga berkongsi rahsia kesihatannya dengan berkata dia amat menitikberatkan soal pemakanan dan hanya mengambil makanan yang terdiri daripada bijirin, roti dan mi beras perang.

Beliau ditemani menantu perempuannya, cucu dan juga Ketua Biro Pekhidmatan dan Pengaduan Awam Parti Gerakan, Lau Hoi Keong semasa hadir ke JPN.

kad pengenalan, warga emas, JPN

Artikel Lain