LONDON: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya rakyat menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil akan datang sebagai tidak wajar tetapi sudah dijangka. Beliau berkata Dr Mahathir menerima banyak manfaat daripada BN dan Umno tetapi kini meminta rakyat untuk menolak BN. "BN merupakan parti yang banyak jasanya kepada Tun Mahathir. Tanpa BN dan parti, dia tidak akan menjadi perdana menteri selama 22 tahun. "Dia dan keluarganya mendapat banyak manfaat daripada kedudukannya sebagai perdana menteri dan semua ini kerana kekuatan Umno dan BN. "Kini dia minta rakyat tolak parti yang banyak berjasa kepadanya. "Adakah wajar untuk kita pula menikam balik parti yang begitu banyak berjasa kepada diri sendiri?," katanya pada sidang media di sini lewat Selasa. Pada Ahad, Dr Mahathir menggesa rakyat supaya menyokong calon yang melawan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang berlangsung serentak pada 15 Jun ini. Beliau juga menyeru pembangkang supaya mengelak pecah undi sebagaimana yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu apabila DAP, PKR, PAS dan Amanah bertanding antara satu sama lain menentang parti pemerintah itu. Mengenai calon bagi kedua-dua PRK itu, Najib berkata proses pemilihan sedang berjalan dan mereka terpaksa melakukan pemilihan dengan teliti bagi memastikan kejayaan parti. "Mereka bukan sahaja perlu diterima parti tetapi juga rakyat," katanya. Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai calon bagi kedua-dua PRK itu susulan kematian Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad. Noriah dan Wan Mohammad antara enam yang maut dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.