SOCHI (Rusia): Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin dengan bermulanya Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di sini, Khamis. Pertemuan antara pemimpin Malaysia dan Rusia itu diadakan di Radisson Blu Resort dan Congress Centre di sini. Najib, yang tiba di bandar raya peranginan Sochi di Laut Hitam Rusia, Rabu, bersama-sama pemimpin ASEAN lain untuk menyertai sidang kemuncak bagi memperingati ulang tahun ke-20 hubungan dialog ASEAN-Rusia. Sidang kemuncak itu menjadi wadah bagi pemimpin-pemimpin anggota negara ASEAN dan Rusia untuk melakarkan hala tuju masa depan rakan perkongsian itu. Kumpulan ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Laos, Indonesia, Malaysia,Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Putin, selaku hos sidang kemuncak itu, juga dijadual mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin negara anggota ASEAN selain menghoskan majis resepsi untuk pemimpin, petang Khamis. Rusia telah menjadi rakan dialog ASEAN sejak Julai 1996. Sidang Kemuncak Rusia-ASEAN pertama diadakan di Kuala Lumpur pada Disember2005. Malaysia dan Rusia akan menyambut ulangan tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun depan. -Bernama