KUANTAN: Operasi membawa keluar bangkai pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Aermacchi MB339CM yang terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Pandan Dalam, Nenasi dekat sini selesai pada Khamis. Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, dua lori TUDM dan sebuah lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama dua jengkaut dan sebuah jentolak memasuki lokasi kejadian sejak 8 pagi tadi. Jalan sementara sejauh 500 meter juga dibuat untuk memudahkan operasi membawa keluar bangkai pesawat menerusi laluan Kampung Serun, yang lebih hampir dengan jalan besar Pekan-Rompin, iaitu kira-kira 6 kilometer. Beberapa serpihan kecil pesawat yang dimasukkan ke dalam lori TUDM dilihat meningggalkan lokasi kejadian pada pukul 5 petang, manakala lori ATM yang membawa sayap dan badan pesawat mulai beredar pada pukul 7 malam. Semua serpihan pesawat itu dipercayai akan dihantar ke Pangkalan TUDM Kuantan. Sementara itu, pemilik sawah Shahrulnizam Romli, 35, berkata pihak TUDM memaklumkannya untuk tidak memasuki petak sawah itu selama seminggu dan beliau tidak mempunyai masalah untuk mematuhi larangan itu. "Buat masa sekarang saya memang tidak menanam padi kerana sedang dalam proses penyediaan tanah. Kalau ikutkan saya cuba hendak membajak tanah buat masa sekarang," katanya. Pesawat yang membawa jurulatih penerbangan, Mejar Nazrul Hafiz Zaimi dan pelatih penerbangan, Left Mohd Hakimi Khairi dilaporkan terhempas setelah mengalami kerosakan teknikal pada pukul 12.54 tengah hari Selasa. Kedua-dua mereka, bagaimanapun selamat apabila berjaya keluar menggunakan kerusi injal, namun Mohd Hakimi patah kaki kirinya dan masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.-Bernama