PUTRAJAYA: Hujan lebat luar biasa merupakan antara punca banjir kilat di sekitar Putrajaya pada 7 Mei lalu, kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail. Beliau berkata ini dapat dibuktikan dengan purata taburan hujan ketika itu ialah 122 milimeter berbanding pada hujan pada hari biasa ialah kira-kira 30 milimeter. Katanya, selain itu, angin kencang turut menerbangkan daun dan ranting pokok sehingga menyebabkan laluan air tersumbat dan mendorong peningkatan air secara cepat. "Hanya satu kawasan iaitu dataran gemilang yang dinaiki air. Tempat lain adalah biasa. Longkang-longkang di sekitar Putrajaya dibina untuk menerima dan menampung hujan selama 100 tahun. "Hujan hari itu memang terlalu lebat," katanya ketika ditanya mengenai hasil kajian yang dijalankan PPj berhubung kejadian banjir itu. Hasim berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media memperkenalkan rakan kerjasama Floria Diraja Putrajaya di sini Jumaat. Dalam kejadian antara 6.30 petang dan 7.30 malam Sabtu, beberapa kawasan dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menghala ke Dataran Gemilang, di Presint 3 dan Presint 4 di sini ditenggelami air, antara lain menyebabkan dua kenderaan terperangkap namun tiada mangsa di dalamnya.