suria

Jabing Kho Digantung Pukul 3.30 Petang Jumaat

SINGAPURA: Rakyat Malaysia yang disabit dengan kesalahan membunuh, Jabing Kho, menjalani hukuman gantungnya pada 3.30 petang tadi di Kompleks Penjara Changi di sini.   

"Jabing jalani hukum mati sekarang...sama-samalah kita berdoa agar rohnya tenang dan Tuhan membawa Jabing ke syurga," kata adik perempuannya, Jumai Kho, dalam catatannya di laman Facebook beliau.

Jabing dari Miri, Sarawak, hari ini gagal dalam usaha mengetepikan pelaksanaan hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan Singapura menolak permohonan yang dilakukannya pada saat-saat akhir.

Jumai Kho memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam, Batu 1, Jalan Kuala Baram, Miri.

Jabing, yang menganuti agama Kristian sebelum ini, memeluk Islam ketika didalam penjara dan memilih Muhammad sebagai nama baharunya.   

Hukuman gantung Jabing sepatutnya dilakukan pada subuh hari Jumaat tetapi peguambelanya berjaya memperoleh penangguhan sementara pelaksanaan hukuman itu lewat malam tadi.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini sedang berurusan dengan kerajaan negeri sarawak bagi membawa pulang jenazah Jabing pada Sabtu.

Dalam catatan terbaharunya, Jumai menulis bahawa selepas pelaksanaan hukuman itu, jenazah Jabing di bawa ke sebuah hospital di sini. -Bernama

Artikel Lain