suria

Salleh Bidas Kecenderungan WSJ Petik Sumber Tidak Dinamakan

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas akhbar The Wall Street Journal (WSJ) kerana terus membuat dakwaan palsu tetapi memetik pihak yang tidak dinamakan sebagai sumbernya.

Ini, katanya, adalah cara yang pengecut untuk mengelak daripada disaman.

"Bagaimanapun kami tahu mereka tidak akan menyatakan nama, sebab mereka tidak akan dapat (menyatakannya)," kata Salleh dalam catatan terkini blog beliau, sskeruak.blogspot.com. yang menyelar laporan WSJ tentang Malaysia.

"Hakikatnya adalah laporan mereka ditulis berdasarkan khabar angin, dan merupakan pembohongan bermotifkan politik yang mereka terima tanpa mendapatkan pengesahan sewajarnya, demi memaparkan satu lagi tajuk berita sensasi," katanya.


Salleh menegaskan bahawa meskipun sumber tanpa nama mereka itu seringkali terbukti tidak benar, misalnya dalam laporan palsu berhubung Gabenor Bank Negara Malaysia yang baharu, namun WSJ terus membuat dakwaan tanpa sebarang bukti.


Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata bukanlah satu kebetulan apabila semua laporan WSJ tentang Malaysia sejak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan kempen Anti-Najib ditulis berdasarkan kepada satu perkara - apa yang mereka dakwa sebagai memetik sumber tanpa nama dan penyiasat tanpa nama.

"Tidak pernah walau sekali pun satu nama disebut bagi kesemua sumber ini. 
Jika mereka benar-benar wujud, kenapa WSJ tidak memaklumkan kepada rakyat Malaysia siapakah mereka ini?


"Jika tidak, bagaimana mereka harapkan apa yang mereka tulis boleh dipercayai, sedangkan sudah beberapa kali laporan mereka itu dibuktikan tidak benar," kata Salleh.

Artikel terkini WSJ, sekali lagi memetik sumber yang tidak dinyatakan, berkaitan dakwaan pembelian hartanah di London.

Artikel Lain