Beliau berkata ini kerana kerusi Parlimen Sungai Besar adalah kerusi tradisi PAS dan parti itu tetap akan meletakkan wakil walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa rundingan berkaitan calon masih berjalan.
"Sungai Besar adalah kerusi tradisi PAS dan keputusan PAS untuk bertanding di situ tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapa.
"Saya yakin jentera dan anggota PAS akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada PRK ini dan tidak akan melayani isu-isu yang bertujuan untuk mengganggu tumpuan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program gotong-royong perdana dan insentif penjimatan air Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat Kampung Baru Hicom di sini, Sabtu.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon, yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
Ketika diminta mengulas dakwaan bahawa Exco PAS di Selangor perlu meletakkan jawatan sekiranya parti itu berkeras mahu bertanding PRK itu, Iskandar berkata apa yang penting Mohamad Azmin yang juga Menteri Besar Selangor telah membuat keputusan bahawa Exco PAS akan kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafie ketika ditemui pemberita menegaskan masih terlalu awal untuk mana-mana parti sama ada DAP, Parti Amanah Negara atau PAS untuk mengumumkan keputusan mahu meletakkan calon di PRK itu memandangkan ia masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.
"Semua orang boleh umumkan macam itu (letak calon bertanding di PRK Sungai Besar), tetapi, keputusan akhirnya akan ditentukan kemudian.
"Buat masa ini, kita masih mengadakan perbincangan, kita bincang dengan PAS," katanya.