suria

Pertahan Kekuatan, Kesucian Islam Dengan Kesatuan Ummah - Zahid

PUTRAJAYA: Kekuatan dan kesucian agama Islam yang sering dicemburui, perlu dipertahankan dengan kesatuan ummahnya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata dalam mendepani cabaran itu, perkara utama yang perlu dilakukan ialah mengetepikan setiap perkara buruk atau cabang perbezaan termasuk ideologi dan pegangan politik.

"Setiap gerakan ke arah menyatukan umat Islam adalah baik tetapi kita sedar di luar sana ramai yang cemburu dengan kekuatan Islam dan kesatuan yang dibina.

"Mereka tidak mahu umat Islam bersatu tetapi ingin melihat Islam itu berpecah-belah umpama buih-buih yang mudah terpisah dan dipisahkan," katanya semasa berucap merasmikan Zikir Perdana Sedunia bersempena malam Nisfu Syaaban di Masjid Putra di sini, Sabtu.

Bertemakan 'Islam itu Kedamaian', majlis itu dianjurkan Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama). Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Presiden Pertama Datuk As'ari Ibrahim.

Ahmad Zahid berkata biar pun berdepan cabaran, beliau yakin kekuatan Islam di Malaysia terus terpelihara selagi Islam dijulang dan dijadikan sebagai ad-din atau pegangan hidup.

"Selagi kita pegang Islam sebagai ad-din, biar apa pun pertubuhan, aliran tarekat atau parti politik kita mampu bersatu asalkan segala perbezaan yang ada diketepikan," katanya.

Mengenai penganjuran majlis itu, timbalan perdana menteri berkata ia sesuatu yang amat disokong kerajaan kerana mampu menyatukan seluruh aliran atau tarekat atas nama kesepaduan umat Islam.

Dengan mengambil kira manfaat yang dibawanya, beliau yakin kerajaan bersedia untuk menampung sepenuhnya kos penganjuran majlis seumpama itu jika dianjurkan lagi pada tahun hadapan.

"Selain mahu menjadi negara Islam contoh, kita juga berharap majlis seperti ini dapat menjadi medan kepada orang Islam mendoakan kesejahteraan kepada negara dan pentadbirannya", katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang tiba kira-kira 4 petang meluangkan masa sepanjang Asar untuk solat berjemaah, bermunajad, berqasidah dan berselawat serta membaca Yassin sementara menantik waktu Maghrib.

Zikir itu dipimpin Habib Ali Al-saggaf manakala bacaan qasidah diketuai Syeikh Mahmoud Al-Wosabi dengan penampilan kumpulan qasidah dari Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Melaka.

Bacaan zikir munajad dipimpin Sheikh Aleey Abdul Qadir, seorang pendakwah yang berasal dari utara Malaysia dan kini menetap di London.

Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain