ALOR SETAR: "Saya diibarat seperti ayah yang akan cuba tunaikan permintaan anaknya," kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Menyifatkan dirinya sebagai bapa kepada generasi muda, Ahmad Bashah berkata setiap keluhan yang didengarinya sebelum ini pasti cuba diselesaikannya bagi memuaskan hati mereka. Katanya beliau tidak pernah meminggirkan atau membelakangkan kehendak generasi muda masa kini, selain berusaha melaksanakan kemahuan rakyat pelbagai latar belakang di negeri ini. Namun, beliau mengakui masih ada agenerasi muda yang memandang serong dan marah kepadanya disebabkan krisis pertukaran Menteri Besar pada 4 Feb lepas kerana mereka tidak memahami perubahan dan keperluan itu dalam politik. "Perubahan kepimpinan akan berlaku dari masa ke masa...mungkin suatu hari nanti, generasi muda akan faham kenapa perubahan itu berlaku," katanya ketika ditanya tentang 100 harinya selepas dilantik sebagai Menteri Besar Kedah di sini, Sabtu. Ahmad Bashah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah baharu pada 4 Feb lepas bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. Sepanjang 100 hari menerajui negeri ini, antara perkara yang telah dilaksanakan ialah Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) bagi meringankan beban rakyat negeri ini. Ahmad Bashah berkata faktor usia tidak menjadi penghalang untuk generasi muda mendekatinya, malah ada kalangan mereka yang menuntut di universiti memanggilnya 'abah' sebagai cara menunjukkan kemesraan. Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa setiap janji dalam manifesto PRU-13 yang mementingkan keperluan generasi muda akan dilaksanakan bagi membuktikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mementingkan kehendak generasi muda. "Antaranya litar lumba untuk belia yang bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas peruntukan diluluskan oleh kerajaan Persekutuan. Model litar lumba yang sesuai sedang dikaji oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS)," katanya. Selain itu, kerajaan negeri turut menyampaikan bantuan dan sumbangan tahunan kepada pertubuhan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikendalikan generasi muda. Terdahulu, Ahmad Bashah melancarkan Jentera Gerak Kerja Wanita UMNO Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Dewan Seri Mentalon.