suria

Kanak-Kanak Dirantai Bapa Kini Sihat, Aktif - Rohani

TEMERLOH: Kanak-kanak lelaki yang diikat dengan rantai besi tanpa pakaian oleh bapanya di tangga sebuah flat di Paya Terubong, Pulau Pinang pada Sabtu lalu telah dibenarkan keluar daripada Hospital Pulau Pinang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kanak-kanak berusia lapan tahun itu kini ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti, Kepala Batas.

"Kanak-kanak itu berada dalam keadaan sihat, sangat aktif dan tidak menunjukkan tanda-tanda trauma. Kita bagaimanapun sentiasa melakukan kaunseling dan akan memastikan dia mendapat layanan dan rawatan terbaik," katanya.

Rohani berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Festival Dari Wanita Untuk Wanita 2016 Negeri Pahang di Dataran Temerloh di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Rohani juga meminta supaya ibu kanak-kanak itu menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secepat mungkin bagi menyelesaikan isu berkaitan penjagaan kanak-kanak itu.

"Setakat ini pihak JKM mengesan wanita itu berada di Sabah, bagaimanapun gagal mengesan lokasi tepat ibunya.Oleh itu kita minta wanita itu untuk ke pejabat JKM terdekat," katanya.

Rohani berkata pihaknya tidak menetapkan tempoh masa untuk ibu kanak-kanak itu tampil kerana apa yang penting adalah kanak-kanak itu disatukan kembali dengan ibunya dan mendapat kasih sayang serta jagaan anggota keluarga.

Media sebelum ini melaporkan tentang keadaan kanak-kanak itu yang diikat dalam keadaan bogel di tangga rumahnya selama lima jam oleh bapanya yang didakwa sebagai hukuman kerana nakal.

Difahamkan pemeriksaan mendapati mangsa adalah kanak-kanak hiperaktif dan ditinggalkan dengan bapanya sejak berusia lapan bulan.

Kes itu mendapat perhatian selepas seorang jiran yang melihat kejadian itu semasa pulang ke rumah mengambil video dan memuat naik ke laman sosial Facebook.

Bapa kepada kanak-kanak itu, seorang pemandu van yang berusia 45 tahun kemudiannya menyerah diri kepada polis pada Isnin.

Artikel Lain